Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang wanita memperagakan tarian seksi di sebuah majlis makan malam, dipercayai dianjurkan oleh sebuah syarikat perlombongan emas. Majlis itu dikatakan berlangsung di dewan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Tanah Merah, Kelantan, yang mengundang kritikan netizen kerana melanggar peraturan kerajaan negeri.
Ketua Polis Kelantan memaklumkan, kertas siasatan telah dibuka terhadap penganjur majlis tersebut dan pihak sekolah yang membenarkan dewan mereka digunakan untuk acara hiburan itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998, yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, turut mengesahkan siasatan sedang dijalankan oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM). Menurutnya, laporan penuh dari MDTM sedang dinantikan bagi tindakan lanjut.
“Penganjur dan pemilik premis boleh dikenakan kompaun kerana tidak mempunyai permit hiburan serta Lesen Tempat Hiburan. Berdasarkan maklumat awal, sebahagian besar tetamu adalah pelombong dari Tanah Besar China serta pekerja syarikat,” katanya.
Hilmi turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang tidak mematuhi undang-undang, apatah lagi majlis itu melibatkan tetamu tempatan beragama Islam yang bekerja dengan syarikat berkenaan.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi yang melibatkan sensitiviti masyarakat setempat.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








