Tukang jahit menang RM1 juta selepas konsisten menyimpan dalam BSN SSP sejak 2021 | The Reporter

Tukang jahit menang RM1 juta selepas konsisten menyimpan dalam BSN SSP sejak 2021

Tukang jahit dari Kelantan, Roswani Ismail, tersenyum selepas diumumkan menang RM1 juta BSN SSP.
Roswani Ismail, pemenang RM1 juta BSN SSP

Seorang tukang jahit dari Kampung Chempaka, Kelantan tidak menyangka tabiat menyimpan secara konsisten sejak 2021 membuahkan hasil lumayan apabila dia diumumkan sebagai pemenang utama cabutan Jutawan BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) ke-110.

Roswani Ismail, 56, berkata dia hampir tidak percaya apabila dimaklumkan oleh pegawai BSN bahawa dia memenangi hadiah cabutan bernilai RM1 juta pada 3 April lalu, ketika sambutan hari raya Aidilfitri yang keempat.

“Saya ingatkan panggilan palsu, tapi pegawai tu minta saya datang ke pejabat BSN. Bila dah sah, barulah rasa lega. Alhamdulillah, ni semua rezeki,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya, sebelum menyimpan dalam SSP, dia hanya menggunakan akaun simpanan biasa. Namun sejak beberapa tahun lalu, dia nekad untuk menyimpan secara tetap demi masa depan. Katanya, simpanan tersebut adalah hasil upah menjahit dan juga wang simpanan semasa bekerja di butik pakaian sebelum ini.

Gambar: Harian Metro

“Kalau simpan dalam akaun biasa, kita cepat terfikir nak keluarkan. Tapi kalau simpan dalam SSP, lebih mudah untuk kekalkan simpanan. Saya memang niat simpan untuk kegunaan masa depan,” ujarnya.

Roswani berkata, hadiah tersebut akan terus disimpan di dalam SSP BSN. Selain itu, dia berhasrat menggunakan sebahagian daripadanya untuk tujuan kebajikan termasuk membawa adik-beradiknya menunaikan umrah.

“Saya nak kongsikan rezeki ini. Insya-Allah kalau ada peluang, saya mahu bawa adik-beradik yang belum pernah ke Mekah untuk umrah,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya terus konsisten menyimpan kerana peluang untuk menang tetap ada selagi terus berusaha dan bersabar.

Related Posts