Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Semalam polis menyatakan kes kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah diselesaikan berikutan tujuh suspek remaja berusia dari 11 hingga 18 tahun telah ditangkap. Ramai yang tidak menyangka tujuh remaja terbabit begitu berani bertindak membakar bangunan tahfiz hanya kerana tidak puas hati selepas berlakunya perselisihan faham dengan lima pelajar tahfiz.
“Generasi apa yang kita lahirkan hari ini?” demikian persoalan dari Akhi Fairuz Al-Jengkawi. Baca ulasan selanjut beliau di bawah:
Belakang Maahad Tahfiz Ittifaqiah adanya Taman Tasik Keramat. Di sinilah tempat muda-mudi bermadu kasih di bawah langit gelap, tidak kurang juga ada yang hidu gam dan hisap dadah. Ia juga menjadi tempat lepak orang muda dikala malam, terutama hujung minggu. Ada beberapa buah gerai makanan sekitar tasik. Ya, mereka nampak remaja yang sedang bermaksiat ini, namun tidak ditegur.
Saya jangka kes buli hingga mati di UPNM dahulu sudah tragis dan kejam, rupa-rupanya kes ini lebih dahsyat! Manusia membunuh manusia dengan membakarnya hingga rentung!
Suka untuk saya katakan, remaja yang membunuh ini juga adalah mangsa. Mangsa bagi kepincangan yang berlaku dalam negara. Baik sistem pendidikan, ekonomi, kos sara hidup yang tinggi, kurangnya skil mendidik anak-anak, tak tahu hala tuju hidup serta pembangunan material tidak seiring dengan pembangunan insan.
![]() |
| Keadaan dalam asrama pusat tahfiz yang terbakar |
Jika hal semacam ini tak mampu untuk menyedarkan kita betapa teruknya generasi yang telah kita bina dari sistem yang sedia ada, maka jangan pelik ia akan berulang kembali. Ketika itu, kita akan nampak betapa bodohnya kita tak belajar dari pengalaman. Kita langsung tak berbuat apa-apa untuk membina generasi masa depan. Yang kita tahu hanyalah menyalahkan pihak yang lain. Sungguh, negara ini sudah layak untuk digelar sebagai #NegaraMurai! Sembang lebat, habuk pun tarak!













