Seorang usahawan berasaskan perkhidmatan penghantaran kesal dengan perbuatan seorang chef selebriti yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak benar mengenainya baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi King of RoadTrip, pemiliknya, Mohd Akiff, tidak menyangka, kerjasama yang telah terjalin selama lima tahun musnah begitu sahaja disebabkan sikap tidak wajar yang ditonjolkan oleh Chef berkenaan.
Dituduh tidak mengenang budi
“Umum tahu saya membuat servis penghantaran Nasi Arab Chef **** selama lima tahun. Dua tahun pertama menggunakan personal akaun Facebook saya dan tiga tahun seterusnya menggunakan Facebook King fo RoadTrip untuk membuat penghantaran tempahan makanan Nasi Arab berkenaan ke seluruh lokasi di Semenanjung,” katanya.
Jelas Mohd Akiff, dia tidak pernah mengatakan bahawa Nasi Arab itu adalah produknya kerana dia hanya membuat servis penghantaran tempahan sahaja. Sepanjang beroperasi, syarikatnya tidak pernah mengalami sebarang masalah kerana mereka berkhidmat dengan jujur dan amanah.
Tetapi hal yang tidak diingini mula timbul apabila King of RoadTrip mula membuat penghantaran produk peniaga lain iaitu Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat. Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati Chef **** dan menuduh Mohd Akiff tidak mengenang budinya.
Buat ‘live’, tuduh kawan makan kawan
“Saya tak buat produk, bukan pemilik produk. Saya adalah orang yang menjalankan servis, kena cari jalan dan peluang lain yang difikirkan sesuai dengan niche perniagaan saya.
“Jadi kenapa perlu timbul isu pula? Dan pihak chef ini buat live video di Facebook dengan kapsyen “Kawan makan Kawan”. Siap ada part two. Saya kecewa dengan cara dia.
“Dia kata, kalau you ambil produk Nasi Pakistan, you tak boleh ambil produk saya. Come’on lah Chef. Saya ni servis, bukan pemilik produk. Tiada sebarang dokumen hitam putih mengatakan saya ini berkait dengan chef.
“Saya boleh dan bebas nak buat (penghantaran) produk apa sekali pun asalkan tidak menjejaskan nama produk tersebut. Kos pengiklanan, operasi penghantaran tidak pernah ditanggung oleh Chef. Semuanya ditanggung oleh saya.
“Adil ke chef buat saya macam ini? Siap tuduh lagi saya naik disebabkan nama dia. Logik akal sikit bang. Mestilah kalau saya open tempahan nama produk awak, orang mesti nak tahu produk nama siapa. Kan nama awak tu Chef. Takkan saya nak cakap itu adalah produk saya?” ujarnya.
Walaupun chef berkenaan telah memadamkan video tuduhan tidak berasas itu, Mohd Akiff masih menyimpan bukti-bukti berkenaan.
Pengalaman 30 tahun, tetapi tahap profesionalisme ‘kelaut’
“Lima tahun bawa produk dan nama dia ke seluruh Semenanjung. Last-last apabila saya ingin melebarkan sayap dengan membawa produk pihak lain, dia tuduh saya kawan makan kawan.
“Yelah, siapalah kami, bukan siapa-siapa. Dan saya nak petik kata-kata Chef terhadap diri saya:
“I can always find another Akiff, but you will never find another A***” (Saya boleh mencari sesiapa sahaja untuk buat servis penghantaran Nasi Arab ini. Tetapi awak belum tentu boleh jumpa produk seperti miliknya).
Mohd Akiff pada awalnya enggan mengendahkan kenyataan Chef berkenaan. Tetapi lelaki itu berterusan menyebut namanya semasa membuat siaran langsung di media sosial, membuatkan dia terpanggil untuk menjelaskan cerita sebenar.
“Saya bersuara bukan apa, nanti orang ingat bila saya tak bersuara, maka tuduhan dia semua itu betul.
“Perasaan sekarang ini lebih kepada kecewa, tidaklah marah. Cuma kecewa dengan sikap beliau, tahap profesionalisme yang ditunjukkannya tidak sesuai dengan status sebagai seorang Chef yang berpengalaman lebih 30 tahun.
“Cukuplah Chef, cukup. Jangan panjangkan isu,” katanya.
Sumber: King of RoadTrip