Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegur tindakan segelintir peniaga yang menggunakan pendekatan mempromosikan pakaian dalam dengan cara memakainya sendiri walaupun menutup aurat.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau menegaskan kaedah tersebut boleh menimbulkan kontroversi serta dilihat tidak menepati etika dan adab dalam Islam.
Menurut beliau, walaupun wanita yang terlibat menutup aurat dan tidak melanggar hukum syarak secara langsung, cara promosi berkenaan tetap tidak wajar digunakan kerana terdapat banyak alternatif lain yang lebih sesuai.
Katanya, dari sudut etika, masyarakat sudah memahami fungsi pakaian dalam, justeru tidak perlu diperagakan secara langsung oleh model manusia. Sebaliknya, peniaga boleh menggunakan cara lain seperti patung peragaan atau replika bagi tujuan demonstrasi produk.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap urusan perniagaan perlu berlandaskan akhlak Islam dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat.
Baca juga:
- YouTuber, pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua individu tidak dikenali
- ‘Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya’ – Syed Saddiq luah rasa syukur
- Keputusan majoriti 2-1 memihak Syed Saddiq, kekal bebas daripada pertuduhan
Mohamad Shukri berpandangan tindakan tersebut agak keterlaluan kerana masih banyak kaedah lain yang lebih sopan dan sesuai untuk memaparkan cara pemakaian produk tanpa mencetuskan salah faham.
Terdahulu, satu klip video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita bertudung memperagakan cara pemakaian pakaian dalam, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan kecaman dalam kalangan netizen.
Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.








