Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Donald Trump umum Iran dan Israel setuju adakan gencatan senjata selama 12 jam
• Tiada korban jiwa dalam serangan ke atas pangkalan tentera AS di Qatar
• Trump puji Iran dan Emir Qatar, kecam media ‘berita palsu’ yang didakwa cuba putar fakta
Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, mengumumkan satu persetujuan gencatan senjata telah dicapai antara Iran dan Israel. Beliau menyifatkan ia sebagai titik akhir kepada konflik yang berlangsung selama 12 hari yang kini digelar “Perang 12 Hari.”
Menurut Trump, gencatan senjata ini akan bermula dalam masa enam jam selepas pengumuman, dengan Iran memulakannya dahulu. Selepas 12 jam, Israel pula akan melaksanakan gencatan senjata dan selepas 24 jam, dunia akan mengiktiraf tamatnya konflik tersebut secara rasmi.
Serangan balas Iran didakwa lemah, tiada korban dilaporkan
Trump juga memaklumkan bahawa Iran telah bertindak balas terhadap serangan AS ke atas fasiliti nuklear mereka, namun menyifatkan tindak balas itu sebagai ‘lemah’. Daripada 14 peluru berpandu yang dilepaskan Iran, 13 telah dipintas dan satu lagi menuju ke arah yang tidak membahayakan.
Beliau menegaskan tiada rakyat Amerika yang tercedera atau terkorban. Malah, beliau berterima kasih kepada Iran kerana memberi notis awal sebelum serangan berlaku, yang didakwanya membantu mengelakkan kehilangan nyawa.
Tiada rakyat Qatar terjejas, Trump puji usaha Emir Qatar
Trump turut mengesahkan tiada rakyat Qatar yang terjejas dalam serangan ke atas pangkalan tentera AS di negara itu. Dalam kenyataannnya, beliau berterima kasih kepada Emir Qatar yang disifatkannya sebagai “sangat dihormati” atas usaha mencari damai di rantau tersebut.
Bidas media ‘berita palsu’ yang pertikai kejayaan serangan
Dalam kenyataan berasingan, Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa agensi media AS yang menurutnya cuba memperlekehkan keberkesanan serangan terhadap fasiliti nuklear Iran. Beliau menyifatkan mereka sebagai “penyebar berita palsu” dan menuduh mereka sengaja memutar belit fakta.
Beliau menyebut beberapa nama termasuk wartawan CNN dan ABC serta mempersendakan saluran berita yang dikatakan tidak lagi dipercayai rakyat.
Mengapa disebut ‘Perang 12 Hari’?
Trump menggambarkan konflik itu sebagai satu peperangan yang boleh berlarutan bertahun-tahun dan mengorbankan ramai, namun berjaya diselesaikan dalam masa singkat. Beliau menyifatkannya sebagai bukti kekuatan diplomasi dan ketahanan kedua-dua negara.








