Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Donald Trump menegaskan tindakan memberi pengiktirafan kepada negara Palestin pada masa ini seolah-olah menghadiahkan ganjaran kepada kumpulan Hamas. Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata demikian ketika mengulas rancangan Britain dan Perancis yang mahu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara secara bersendirian tanpa persetujuan Israel.
“Anda boleh berhujah bahawa anda sedang memberi ganjaran kepada mereka, anda tahu, anda sedang memberi ganjaran kepada Hamas jika anda lakukan begitu,” katanya kepada wartawan ketika ditanya sama ada beliau akan mendesak Israel mencari penyelesaian jangka panjang.
“Saya tidak fikir (Hamas) patut diberi ganjaran.. Saya bukan dalam kelompok itu, terus terang. Kami akan maklumkan pendirian kami, tetapi saya bukan dalam kelompok itu kerana jika anda lakukan begitu, anda benar-benar sedang memberi ganjaran kepada Hamas. Dan saya tidak akan buat begitu.”
Trump turut menegaskan beliau tidak pernah berbincang isu itu dengan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, sewaktu pertemuan mereka di Scotland pada Isnin lalu.
Baca juga:
- Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
- Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran
- Pemilik hotel dibaham buaya, enam pasang kasut dalam perut haiwan timbul kejutan
Keputusan UK dan Perancis dikecam
Sebelum ini, Starmer menyatakan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin selewat-lewatnya September ini, sekiranya Israel gagal menunjukkan kemajuan dalam menghentikan keganasan di Gaza serta komited terhadap penyelesaian dua negara.
Langkah itu diselar oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkannya sebagai satu tindakan yang “memberi ganjaran kepada keganasan Hamas dan menghukum mangsanya.”
Perancis pula turut mengumumkan niat serupa minggu lalu, namun Trump mengecilkan keputusan itu dan memperlekeh Presiden Emmanuel Macron.
“Apa yang dia katakan tidak penting. Langkah itu tidak membawa sebarang makna,” kata Trump mengenai Macron.
Sementara itu, Hamas menyambut baik perkembangan tersebut. Seorang pegawainya dilaporkan berkata, “Sokongan antarabangsa terhadap penentuan nasib sendiri rakyat Palestin menunjukkan kita sedang bergerak ke arah yang betul. Kemenangan dan pembebasan lebih hampir daripada yang kami jangkakan,” menurut terjemahan wartawan Khaled Abu Toameh.
Rundingan damai dengan Hamas gagal lagi
Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Trump menarik balik pasukan rundingan dari Doha, Qatar selepas Hamas menolak cadangan gencatan senjata terbaru dan enggan membebaskan baki tebusan Israel.
“Kami telah membuat keputusan untuk membawa pulang pasukan kami dari Doha bagi tujuan rundingan semula selepas maklum balas terbaru daripada Hamas yang jelas menunjukkan mereka tidak berminat mencapai gencatan senjata di Gaza,” kata utusan khas AS, Steve Witkoff dalam satu kenyataan.
Sumber: The Washington Free Beacon








