Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencuri perhatian apabila secara berseloroh menyifatkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai seorang yang pemalu ketika menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila, Filipina, pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat ketika Trump menyampaikan ucapan di hadapan pemimpin negara ASEAN sebelum secara tiba-tiba mencari kelibat Prabowo dalam kalangan pemimpin yang hadir.
“Di mana Indonesia? Saya nampak sahabat saya di sini tadi. Boleh kamu berdiri? Dia seorang yang sangat pemalu,” katanya.
Prabowo kemudian berdiri selepas diminta berbuat demikian, sebelum Trump meneruskan ucapannya dengan memberikan pujian terhadap kepimpinan Presiden Indonesia itu.
“Dia menjalankan tugas dengan sangat baik. Terima kasih banyak. Tahniah kepada seorang pemimpin yang hebat,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Indonesia, ANTARA, detik tersebut berlaku ketika Trump sedang menyentuh mengenai kerjasama pertahanan antara Amerika Syarikat dan Indonesia yang diumumkan pada awal tahun ini.
Trump berkata, kerjasama berkenaan bertujuan memperluas latihan bersama pasukan khas kedua-dua negara, selain meningkatkan usaha pemodenan pertahanan.
Dalam ucapan sama, beliau turut menegaskan komitmen Amerika Syarikat untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara, khususnya dalam bidang perdagangan, keselamatan, tenaga dan teknologi.
Trump turut menyifatkan Asia Tenggara sebagai antara kawasan perdagangan paling penting di dunia, selain menekankan kedudukan strategik Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan antarabangsa.
Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pemimpin ASEAN dan Amerika Syarikat bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam pelbagai sektor.








