Mesyuarat Exco Kelantan cipta kelainan, berlangsung dalam tren ECRL | The Reporter

Mesyuarat Exco Kelantan cipta kelainan, berlangsung dalam tren ECRL

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan Exco mengadakan mesyuarat kerajaan negeri di dalam gerabak tren ECRL.
Gambar: Facebook Menteri Besar Kelantan.

Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Kelantan mencipta kelainan apabila diadakan di dalam gerabak tren Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Gombak, Selangor.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana berbeza daripada kebiasaan.

Menerusi hantaran Menteri Besar Kelantan, persidangan itu turut membincangkan pelbagai perkara penting berkaitan pembangunan negeri serta kepentingan rakyat Kelantan.

Pendekatan tersebut mencerminkan komitmen kepimpinan kerajaan negeri untuk memastikan urusan pentadbiran dan agenda pembangunan terus diberikan perhatian meskipun berlangsung di luar lokasi rasmi mesyuarat.

Dalam masa sama, perjalanan menaiki tren ECRL itu turut memberi peluang kepada Menteri Besar dan barisan Exco untuk meninjau sendiri perkembangan serta kemajuan projek berkenaan.

Projek ECRL dilihat berpotensi menjadi antara pemangkin utama pembangunan ekonomi negeri, selain memperkukuh jaringan pengangkutan yang menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain.

“Pelaksanaan projek tersebut juga diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan perhubungan Kelantan dengan negeri-negeri lain,” menurut hantaran itu.

Kerajaan Negeri Kelantan turut menaruh harapan agar kemudahan ECRL dapat memberikan manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan mobiliti masyarakat, merancakkan pembangunan serta membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Related Posts