Trump & Netanyahu setuju tamatkan perang Gaza dalam dua minggu | The Reporter

Trump & Netanyahu setuju tamatkan perang Gaza dalam dua minggu

Donald Trump dan Benjamin Netanyahu berbual dalam satu majlis rasmi, kedua-duanya memakai tali leher merah
Trump dan Netanyahu ketika sidang bersama terdahulu, kini dikaitkan dengan rancangan menamatkan perang Gaza | Kredit gambar: Associated Press

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Trump dan Netanyahu dikatakan setuju tamatkan perang Gaza dalam masa dua minggu
• Empat negara Arab dicadangkan ambil alih pentadbiran Gaza ganti Hamas, semua tebusan dibebaskan
• Arab Saudi dan Syria dikatakan akan jalin hubungan diplomatik dengan Israel, AS pula akan iktiraf kedaulatan Israel ke atas sebahagian Tebing Barat

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor telah mencapai persetujuan tidak rasmi untuk menamatkan perang di Gaza dalam masa dua minggu, selepas panggilan telefon antara mereka susulan serangan udara Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran. Laporan ini didedahkan oleh media prokerajaan Israel, Israel Hayom, yang memetik sumber terdekat dengan perbualan tersebut.

Difahamkan, cadangan penyelesaian konflik ini melibatkan pembentukan pentadbiran baharu di Gaza oleh empat negara Arab, termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Mesir bagi menggantikan pemerintahan Hamas. Dalam pelan itu, semua tebusan akan dibebaskan manakala pemimpin Hamas akan diusir keluar dari Gaza.

Siapa bakal tadbir Gaza jika Hamas berundur?

Namun, pelaksanaan cadangan ini masih menjadi persoalan besar. Hamas telah menegaskan mereka tidak akan berundur, manakala beberapa negara Arab sebelum ini turut menolak untuk mengambil alih pentadbiran Gaza selepas konflik.

Perbualan antara Trump dan Netanyahu berlaku pada Isnin lalu, sehari selepas AS melancarkan serangan ke atas Iran. Turut serta dalam panggilan itu ialah Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer. Sumber menggambarkan perbualan itu sebagai ‘penuh semangat dan keterujaan’, mencerminkan harapan tinggi terhadap pelaksanaan cadangan tersebut.

Antara kandungan lain cadangan itu, rakyat Palestin yang mahu meninggalkan Gaza akan diterima oleh beberapa negara lain yang tidak dinamakan, manakala Arab Saudi dan Syria dijangka membuka hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Israel akan memberi sokongan kepada penubuhan negara Palestin (two-state solution), tetapi dengan syarat Pihak Berkuasa Palestin menjalankan reformasi dalaman. Manakala AS pula akan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas sebahagian wilayah Tebing Barat.

Rancangan lama Trump pernah ditolak dunia Arab

Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan agar AS mengambil alih Gaza dan mengubah wilayah itu menjadi ‘Riviera Timur Tengah’. Namun, cadangan tersebut dianggap sebagai pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah mereka dan dibantah keras oleh Liga Arab serta komuniti antarabangsa.

“Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa… ini bukan cara untuk menangani krisis buatan manusia,” kata Penolong Setiausaha Agung Liga Arab, Hossam Zaki kepada BBC.

Pada Mac lalu, pelan pascaperang yang disokong negara-negara Arab telah ditolak oleh AS dan Israel. Pelan itu dirangka untuk membolehkan lebih dua juta penduduk Gaza kekal di tanah mereka, bukannya dipindahkan secara kekal.

Related Posts