Trump akan pastikan Israel tidak disingkirkan daripada Piala Dunia 2026 | The Reporter

Trump akan pastikan Israel tidak disingkirkan daripada Piala Dunia 2026

Donald Trump memakai topi merah dengan tulisan putih sambil memegang trofi Piala Dunia emas.
| Kredit gambar: ABACA/Shutterstock

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pentadbirannya akan menghalang sebarang cubaan menggantung pasukan bola sepak Israel daripada Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, lapor Daily Mail.

Tindakan itu menyusul selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak badan sukan antarabangsa menggantung penyertaan Israel susulan dakwaan melakukan genosid terhadap penduduk Gaza. Israel bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, “Kami akan memastikan Israel tidak disingkirkan daripada Piala Dunia.”

Baca juga:

FIFA berdepan dilema

FIFA masih belum mengeluarkan keputusan rasmi berhubung gesaan PBB. Presidennya, Gianni Infantino hanya menekankan betapa sukar untuk mengambil tindakan terhadap negara yang terlibat dalam konflik.

Walau begitu, kenyataan Infantino itu menimbulkan persoalan kerana Rusia masih digantung daripada kejohanan antarabangsa akibat perang dengan Ukraine.

Israel ketika ini berpeluang besar layak ke Piala Dunia. Mereka masih mempunyai dua perlawanan kelayakan penting menentang Norway dan Itali. Malah, Persekutuan Bola Sepak Norway sudah berikrar menyalurkan keuntungan perlawanan menentang Israel kepada badan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Politik dan bola sepak bercampur

Penganalisis melihat langkah Trump sebagai usaha politik bagi menunjukkan sokongan kepada Israel. Malah, isu ini turut menimbulkan dilema sama ada FIFA akan tunduk pada tekanan antarabangsa atau akur dengan pengaruh Washington.

Pentadbiran White House sebelum ini turut memberi jaminan atlet dari negara lain, termasuk Iran yang dikenakan sekatan perjalanan, tetap dibenarkan masuk untuk Piala Dunia 2026 dan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Keterlibatan Trump dalam pelbagai acara sukan sejak penggal keduanya bermula termasuk Super Bowl, US Open, Daytona 500 dan aksi Major League Baseball memperlihatkan sukan sebagai pentas politiknya.

Related Posts