Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Trump gesa Netanyahu teruskan serangan udara ke atas Iran, minta Khamenei menyerah tanpa syarat
• Iran tolak ugutan Trump, beri amaran campur tangan AS boleh cetus perang besar
• Trump masih belum sahkan penglibatan ketenteraan AS tetapi semua pilihan kekal terbuka
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan sokongan terbuka kepada Israel untuk meneruskan serangan udara ke atas Iran sambil memberi amaran bahawa sudah “terlambat” untuk memulakan semula rundingan damai berkaitan program nuklear Teheran. Trump turut mendakwa beliau telah memberikan amaran kepada Iran dan mahu Ayatollah Ali Khamenei menyerah diri tanpa syarat.
“Senang sahaja, menyerah tanpa syarat. Maksudnya, ‘Saya dah tak sanggup. Saya mengaku kalah, cukup sampai sini’,” kata Trump ketika berucap dalam satu majlis di Rumah Putih.
Menurutnya, jika Iran enggan menyerah, tindak balas ketenteraan terhadap kemudahan nuklear negara itu tidak dapat dielakkan.
“Kita akan musnahkan semua fasiliti nuklear yang ada di sana. Mereka memang ada niat buruk,” katanya kepada wartawan.
“Kami tidak akan sesekali menyerah” – Khamenei
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei pula membalas kenyataan Trump dengan tegas di platform X
“Presiden Amerika mengugut kami. Dengan retorik mengarutnya, dia mahu rakyat Iran menyerah kepadanya. Tetapi ancaman hanya berkesan terhadap mereka yang takut diugut. Rakyat Iran tidak gentar dengan ancaman seperti itu.
“Bukan satu tindakan bijak untuk menyuruh rakyat Iran menyerah. Kepada siapa atau kepada apa sebenarnya kami perlu menyerah? Kami tidak akan pernah tunduk terhadap serangan sesiapa pun.”
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran memberi amaran bahawa campur tangan Amerika boleh mencetuskan perang besar-besaran di seluruh Timur Tengah.
Trump masih pertimbang peranan AS dalam konflik
Walaupun menyokong tindakan Israel, Trump masih belum pasti sama ada Amerika Syarikat akan turut campur tangan secara langsung dalam konflik ini. Israel dilaporkan meminta bantuan tentera AS untuk menyerang kemudahan nuklear Fordow yang tersembunyi jauh di kawasan gunung.
“Kami satu-satunya negara yang mampu melakukannya. Tetapi itu tak bermaksud saya akan buat, tidak sama sekali,” kata Trump. – Agensi








