Trump desak CEO Intel kelahiran Malaysia letak jawatan | The Reporter

Trump desak CEO Intel kelahiran Malaysia letak jawatan

CEO Intel didesak letak jawatan oleh Donald Trump.
Gambar: Tangkap layar video Youtube Intel Business.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan, meletakkan jawatan selepas mendakwa tokoh kelahiran Malaysia itu mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China (CCP) serta syarikat-syarikat di China.

Menerusi hantaran di Truth Social, Trump mengatakan Tan’sangat konflik’ dan mesti meletak jawatan segera, sambil menegaskan tiada penyelesaian lain terhadap isu berkenaan.

“CEO Intel sangat conflicted dan mesti meletak jawatan segera. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini. Terima kasih atas perhatian anda terhadap isu ini,” katanya.

Susulan kenyataan itu, saham Intel jatuh lebih tiga peratus dalam dagangan awal. Pihak syarikat setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Trump.

Kritikan tersebut dibuat sehari selepas Trump mengancam mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip dan semikonduktor import, yang sepatutnya memberi kelebihan kepada Intel sebagai syarikat berpangkalan di AS. Bagaimanapun, beliau mengecualikan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan Apple, yang sebelum ini mengumumkan pelaburan besar dalam pembuatan cip di AS.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, dari Rumah Putih mengumumkan pelaburan AS$100 bilion (RM468 bilion) untuk pengeluaran cip di AS.

Baca juga:
Kaitan Tan dengan puluhan syarikat di China

Sementara itu, kritikan Trump turut hadir selepas Senator Arkansas, Tom Cotton, menghantar surat kepada Pengerusi Intel, Frank Yeary, menyuarakan kebimbangan berhubung pelaburan Tan dan hubungannya dengan firma semikonduktor yang dikatakan mempunyai kaitan dengan CCP dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Cotton mendakwa Tan mengawal puluhan syarikat di China, sekurang-kurangnya lapan daripadanya mempunyai hubungan dengan PLA. Beliau turut mempersoalkan sama ada Tan telah melepaskan kepentingannya dan membangkitkan isu penjualan produk oleh syarikat Cadence Design Systems yang pernah diterajui Tan kepada Universiti Pertahanan Teknologi Negara China, yang melanggar kawalan eksport AS.

Dalam kenyataan balas, Intel berkata Intel dan Tan komited terhadap keselamatan negara AS dan integriti mereka dalam ekosistem pertahanan negara.

“Kami menghargai tumpuan Senator Cotton terhadap keutamaan bersama ini dan menantikan perbincangan lanjut,” katanya.

Sumbangan Tan

Tan, 65, dianggap sebagai veteran industri teknologi dan modal teroka. Beliau dilantik mengetuai Intel pada Mac lalu sebagai sebahagian usaha memulihkan syarikat itu yang ketinggalan berbanding pengeluar cip lain seperti Nvidia. Intel kini bernilai sekitar AS$89 bilion, jauh lebih rendah berbanding Nvidia yang bernilai AS$4.4 trilion.

Di bawah kepimpinannya, Tan berhasrat menjual aset bukan teras, mengurangkan tenaga kerja serta menangguhkan atau membatalkan projek bagi mengurangkan kos operasi. Intel menerima kira-kira AS$8 bilion daripada Akta Cip dan Sains (Chips and Science Act) yang diluluskan era Presiden Joe Biden bagi mengurangkan kebergantungan AS kepada pengeluaran cip luar negara.

Beberapa syarikat asing seperti TSMC dan Samsung turut mengumumkan peningkatan pengeluaran cip di AS. Penerima manfaat lain Akta Cip termasuk Micron Technology, GlobalFoundries dan Texas Instruments, dengan jumlah pelaburan sektor swasta melebihi AS$400 bilion.

Pentadbiran Trump bagaimanapun mahu Kongres memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan tarif sebagai insentif membina kilang cip di tanah AS, dengan mencontohkan keputusan TSMC menambah kapasiti pengeluaran dari tiga kepada enam kilang di Arizona.

Sumber: The Guardian

Related Posts