Trump ugut tarif 100% ke atas Rusia & rakan dagang jika perang Ukraine tak ditamatkan | The Reporter

Trump ugut tarif 100% ke atas Rusia & rakan dagang jika perang Ukraine tak ditamatkan

Donald Trump memberi amaran sambil menunjuk jari, dengan imej Vladimir Putin di latar bulat.
Trump beri amaran tarif 100% kepada negara yang berdagang dengan Rusia jika perang Ukraine tidak ditamatkan. | Kredit gambar: Chris Kleponis/EPA-EFE

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif import 100% ke atas mana-mana negara yang terus menjalankan urus niaga dengan Rusia, jika tiada perjanjian damai dicapai dalam tempoh 50 hari akan datang.

Kenyataan itu dibuat semasa sidang media bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, sekali gus mencetuskan kebimbangan besar terhadap kestabilan perdagangan global.

Menurut Trump, langkah ini adalah sebahagian daripada strategi “tekanan ekonomi maksimum” bagi menamatkan perang Rusia-Ukraine. Tarif ini bukan sahaja disasarkan kepada Rusia, tetapi juga dikenakan ke atas negara ketiga yang terus membeli barangan seperti minyak dan gas dari Rusia. Ini bermakna negara seperti China, India dan juga negara membangun lain turut berisiko menjadi sasaran tarif.

Baca juga:

Apa kesannya kepada Malaysia dan negara lain?

Walaupun Malaysia tidak banyak berdagang secara langsung dengan Rusia, kesan tarif ini boleh merebak secara tidak langsung. Negara seperti China dan India yang merupakan rakan dagang utama Malaysia, mungkin terkesan sekiranya produk mereka dikenakan tarif oleh AS. Ini boleh menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global yang melibatkan Malaysia, termasuk sektor seperti sawit, semikonduktor dan perkilangan.

Di samping itu, gangguan terhadap pasaran minyak global akibat sekatan ke atas Rusia juga boleh menyebabkan harga minyak melonjak. Walaupun Malaysia sebagai pengeksport minyak mungkin mendapat manfaat jangka pendek, kenaikan harga bahan api dan kos pengangkutan boleh menekan semula harga barangan pengguna di pasaran domestik.

Beberapa penganalisis turut memberi amaran tindakan unilateral (sebelah pihak) sebegini akan mewujudkan blok perdagangan yang semakin berpecah, dengan negara-negara BRICS mempercepatkan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika dan membina sistem kewangan alternatif.

Rusia dan BRICS beri reaksi tegas

Sebagai tindak balas, Rusia menyifatkan kenyataan Trump sebagai “tidak konsisten” dan menjelaskan mereka bersedia menghadapi tekanan melalui dasar penggantian import yang dibangunkan sejak sekatan sebelum ini. Dalam sidang kemuncak BRICS di Brazil, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menegaskan BRICS bukan anti-Amerika tetapi menolak pendekatan ancaman dan unilateral seperti ini.

Gabungan BRICS kini aktif membangunkan sistem pembayaran antarabangsa sendiri dan menyeru negara membangun untuk berdagang menggunakan mata wang tempatan, bukan dolar. – Agensi

Related Posts