Anak dicabul pemandu bas, ayah tunggu 3 tahun untuk keputusan mahkamah | The Reporter

Anak dicabul pemandu bas, ayah tunggu 3 tahun untuk keputusan mahkamah

Seorang lelaki menegur individu di hadapan van sekolah berwarna jingga
Ayah kepada mangsa bersemuka dengan pemandu bas yang didakwa mencabul anaknya tiga tahun lalu.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang bapa berkongsi pengalaman selama tiga tahun memperjuangkan keadilan untuk anak perempuannya yang menjadi mangsa cabul oleh seorang pemandu bas sekolah. Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, Tuan Amir Danau menceritakan bagaimana kes itu yang bermula ketika anaknya baru berusia 11 tahun kini hampir sampai ke penghujungnya, dengan keputusan mahkamah dijangka diumumkan esok pagi di Mahkamah Seremban.

Menurut Amir, sejak kejadian berlaku selepas sekolah dibuka semula pasca PKP, anak perempuannya mengalami trauma mendalam sehingga menunjukkan perubahan sikap yang ketara.

Dia sering ketakutan, mudah menggigil apabila berdepan dengan orang luar dan pernah memotong rambutnya sendiri. Malah, anaknya pernah meminta untuk memakai baju Melayu ketika raya kerana tidak selesa mengenakan pakaian perempuan.

Amir mengakui dia dan isteri pada awalnya sukar menerima perubahan itu namun mereka tetap berusaha memahami keadaan anak mereka yang berdepan kesan psikologi akibat kejadian yang berlaku.

Dalam tempoh perbicaraan yang panjang, keluarganya bukan sahaja berdepan tekanan emosi tetapi turut menerima tuduhan daripada segelintir pihak yang mendakwa mereka mereka-reka cerita demi simpati.

Amir sendiri pernah dikenakan denda maksimum RM2,000 di bawah Akta 323 akibat satu insiden selepas kejadian yang berlaku ketika keluarganya masih dalam keadaan tertekan. Namun, dia tetap teguh mempertahankan hak anaknya dan menyifatkan semua yang berlaku sebagai satu ujian besar buat keluarganya.

Dalam perkongsiannya, Amir turut mengucapkan terima kasih kepada peguam, NGO dan individu yang membantu keluarganya sepanjang proses perundangan berlangsung. Katanya, apa pun keputusan esok, mereka redha dan menyerahkan segalanya kepada sistem keadilan dan ketentuan Tuhan.

Anaknya kini berada di tingkatan dua dan dilihat semakin pulih serta kembali menjalani kehidupan sebagai remaja perempuan seperti biasa.

Amir menutup perkongsiannya dengan pesanan kepada ibu bapa lain yang berdepan situasi sama agar terus kuat dan tidak putus asa dalam mencari keadilan untuk anak-anak mereka.

Related Posts