Tragedi di Jalan Ipoh–Lumut: Suami maut, isteri patah kaki motosikal rempuh lori | The Reporter

Tragedi di Jalan Ipoh–Lumut: Suami maut, isteri patah kaki motosikal rempuh lori

Seorang warga emas meninggal dunia dan isterinya cedera parah dalam kemalangan motosikal dengan lori di Jalan Ipoh–Lumut.
Tangkap layar video tular merakamkan kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Jalan Ipoh–Lumut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku apabila lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun tiba-tiba menukar haluan ke lorong kiri.

Menuutnya, motosikal ditunggang Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, yang berada di belakang lori tersebut gagal mengelak sebelum merempuh bahagian sisi kiri kenderaan berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya, Azizah Mat Jamat, 61, mengalami patah kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

“Pemeriksaan mendapati motosikal terbabit tidak memiliki cukai jalan dan insurans tamat tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemandu lori turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, tular video menunjukkan sebuah lori memberikan isyarat kanan namun secara tiba-tiba membelok ke kiri ketika lampu isyarat bertukar hijau, menyebabkan kemalangan berlaku.

Baca juga:

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang lelaki yang dipercayai saksi kejadian berkongsi insiden menyayat hati itu. Katanya, semasa kejadian, dia sempat membantu warga emas berkenaan melafazkan syahadah. Dia yang ketika itu bersama tunangnya juga membantu menghubungi waris terdekat mangsa untuk memaklumkan kejadian.

“10 minit selepas rempuhan berlaku, pakcik menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.48 petang di sisi saya dan abang Ijam yang memangku pakcik.

“Alhamdulillah, makcik berada dalam keadaan baik. Sepanjang impak kemalangan, tubuh arwah pakcik menahan hentakan tersebut dan melindungi makcik sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan tidak mempunyai anak, dan panggilan dibuat kepada Ayong, anak saudara kepada warga emas tersebut.

Sumber: Harian Metro, Muhammad Jannatun Naim

Related Posts