Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 22 Disember lalu di Galaxy Hall, HGH Convention Center, Sentul.
Menerusi satu kenyataan, pihak kementerian dan agensi pelancongan negara itu memaklumkan bahawa penggunaan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur acara berkenaan telah dibuat tanpa sebarang kebenaran bertulis rasmi.
“Penggunaan logo kempen Visit Malaysia 2026 oleh pihak penganjur telah dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- Tourism Malaysia nafi kaitan acara Miss & Mister Celebrity International
- Nga Kor Ming kesal sikap segelintir individu cemari kebersihan pusat bandar
- Ahmad Fikri cipta sejarah, tamat hafazan 30 juzuk dalam hanya sehari
Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia menegaskan bahawa mereka tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul akibat penganjuran acara berkenaan atau penggunaan logo tanpa kebenaran.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur acara terbabit bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi agensi berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa berpakaian wanita ketika menghadiri sebuah majlis. Penampilan individu berkenaan yang dikatakan bertindak sebagai juri dalam majlis tersebut menerima kritikan ramai, dengan netizen mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan terhadap individu terbabit serta pihak penganjur.









