Seekor kucing berwarna oren mencuri tumpuan netizen apabila kisahnya tular selepas ditemui berada di Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Selangor.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi balai berkenaan, kucing yang memakai rantai leher itu dikatakan telah ‘menumpang’ atau mengikuti sebuah lori dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke Sekinchan, satu perjalanan yang cukup jauh merentasi negeri.
Menurut perkongsian tersebut, kucing yang mesra digelar ‘Oyen’ itu telah berada di kawasan Sekinchan selama kira-kira tiga hingga empat hari. Rantai leher yang dipakainya turut mempunyai nombor telefon pemilik, sekali gus memudahkan usaha mengesan tuannya.
“Jauhkan perjalanan Oyen ni… Dari Bukit Kayu Hitam sampai Sekinchan Selangor. Nanti balik Perlis mesti dia kerek kan cerita kat bibik dia, ‘orang pergi kerja part time bomba la,” tulis pihak balai secara berseloroh dalam hantaran itu.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Perkongsian tersebut mengundang reaksi lucu daripada netizen yang terhibur dengan ‘pengembaraan’ luar biasa kucing berkenaan, selain memuji keprihatinan anggota bomba yang menjaga haiwan itu sementara menunggu tuannya.
Difahamkan, pemilik Oyen telah berjaya dihubungi dan akan datang mengambil semula kucing kesayangannya pada hari Sabtu ini.
“Alhamdulillah, tuannya akan datang ambil Oyen semula. Cuma Oyen tak lepas ujian kecergasan, tak boleh jadi bomba,” tambah hantaran itu lagi, diselitkan dengan nada jenaka.











