Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahmad Fikri bin Abdul Hisham, pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk dalam tempoh hanya 18 jam serta memperoleh Pangkat Mumtaz tanpa sebarang kesalahan.
Kejayaan cemerlang itu menjadikan Ahmad Fikri antara pelajar yang mencatat pencapaian membanggakan dalam sejarah Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor sejak aliran Tahfiz diperkenalkan. Bacaan hafazannya telah diperdengarkan dan diuji oleh barisan pendidik tahfiz berpengalaman, sekali gus mengesahkan ketepatan dan kelancaran hafazan beliau.
Memetik Bernama, Ahmad Fikri berkata, amalan konsisten sejak Tingkatan Satu dengan memperuntukkan kira-kira 30 minit setiap sesi selepas solat menjadi kunci utama kejayaannya. Walaupun tempoh latihan harian yang singkat, disiplin dan istiqamah dalam mengulang hafazan membolehkannya menamatkan bacaan 30 juzuk dalam tempoh yang singkat.
Baca juga:
- Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh
- Laporan EAIC bongkar kes pasport terbang, 20 pegawai Imigresen dipecat
- Petinju Muay Thai maut dirempuh trak pikap semasa joging
Dia turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan pendidik di tahfiz yang sentiasa memberi bimbingan, dorongan dan doa tanpa jemu. Sokongan berterusan daripada keluarga dan pihak sekolah disifatkan sebagai faktor penting yang mendorong kejayaan tersebut.
Ahmad Fikri yang bercita-cita menjadi pensyarah berharap kejayaannya dapat dijadikan contoh dan inspirasi untuk melahirkan lebih ramai huffaz.








