Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketika ramai membayangkan kumpulan Yakuza Jepun sebagai samseng bertatu penuh yang terlibat dalam pergaduhan berdarah, kejadian terbaru di Tokyo membuktikan bahawa jenayah mereka kini semakin berbeza, malah agak mengejutkan.
Empat lelaki berusia antara 55 hingga 77 tahun telah ditahan minggu lalu kerana membuka sebuah pejabat Yakuza yang terletak terlalu hampir dengan sebuah perpustakaan awam. Menurut polis, pejabat itu beroperasi dari Jun 2024 hingga Februari 2025, dalam lingkungan 200 meter dari kawasan larangan.
Yakuza langgar zon larangan operasi di Tokyo
Undang-undang bandar Tokyo dengan jelas melarang mana-mana pejabat berkaitan Yakuza daripada beroperasi dalam radius 200 meter dari tempat awam tertentu seperti sekolah, pusat kebajikan kanak-kanak, muzium, mahkamah keluarga termasuk perpustakaan.
Polis turut memaklumkan bahawa lelaki tertua dalam kumpulan itu adalah ahli kepada sebuah organisasi di bawah naungan Sumiyoshi-kai, iaitu salah satu sindiket Yakuza terbesar di Jepun.
Yakuza juga dikenali sebagai boryokudan telah lama wujud sebagai kumpulan jenayah terancang yang terkenal dengan struktur kepimpinan ketat serta kod kehormatan tersendiri. Aktiviti mereka merangkumi pemerasan, pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan juga pemerdagangan manusia.
Berbeza daripada kumpulan penjenayah di negara lain, banyak kumpulan Yakuza di Jepun mempunyai pejabat rasmi dan berdaftar dengan pihak berkuasa. Malah, Agensi Polis Kebangsaan (NPA) turut menyenaraikan alamat beberapa pejabat Yakuza di laman web mereka termasuk ibu pejabat Sumiyoshi-kai yang terletak di daerah elit Akasaka, berdekatan bangunan parlimen.
Bilangan ahli yakuza terus merosot akibat sekatan ketat
Namun begitu, tindakan tegas pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu telah melemahkan pengaruh Yakuza. Jika pada era 1960-an jumlah keahlian mereka mencecah lebih 180,000 orang, kini jumlah itu susut ke paras terendah iaitu hanya 18,800 ahli pada tahun 2024.
Peraturan baharu turut menyukarkan ahli Yakuza untuk menjalani kehidupan seharian termasuk membuka akaun bank, menyewa rumah atau mendapatkan kontrak telefon mudah alih. Undang-undang juga melarang mana-mana pihak memberi bayaran, menandatangani kontrak atau menawarkan pekerjaan yang boleh menggalakkan aktiviti Yakuza. Hasilnya, semakin banyak kumpulan Yakuza dibubarkan atau tampil berikrar untuk mematuhi undang-undang.
Pada April lalu, kumpulan jenayah terbesar Jepun, Yamaguchi-gumi, mengumumkan penamatan konflik dalaman dengan puak lawan selepas pemantauan ketat oleh polis. Tiga pemimpin mereka dilaporkan menghantar surat kepada pihak berkuasa, berjanji untuk “menghentikan semua pergaduhan” dan “tidak menimbulkan sebarang kekacauan.”
Walaupun masih sah di sisi undang-undang untuk wujud, kumpulan Yakuza kini semakin terpinggir. Bukan kerana aksi ganas, tetapi kerana melanggar peraturan yang semakin ketat.
Sumber: CNN World








