'Tindakan ekstrem dalam isu boikot hanya timbulkan keaiban, keresahan' - Menteri Na'im - The Reporter

‘Tindakan ekstrem dalam isu boikot hanya timbulkan keaiban, keresahan’ – Menteri Na’im

Sumber gambar: eCentral

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menyeru masyarakat untuk tidak mengambil tindakan ekstrem dalam isu memboikot barangan atau perniagaan yang dikaitkan dengan Israel.

“Tindakan ekstrem dan melampau hanya akan menimbulkan keaiban dan keresahan dalam masyarakat,” kata Na’im memetik laporan Free Malaysia Today, pada Khamis.

Beliau berkata demikian merujuk kepada video tular yang menunjukkan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan McDonald’s di Sungai Isap, Kuantan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan lima individu yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut.

Selain itu, Na’im juga menegur penggunaan imej ‘anjing’ oleh netizen untuk menggambarkan pelanggan di McDonald’s dan KFC di media sosial, selepas gambar restoran tersebut penuh dengan pelanggan semasa Aidilfitri.

“Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima sama sekali, tetapi tindakan kita untuk menunjukkan solidariti haruslah berlandaskan ilmu dan akhlak,” katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak untuk menjaga keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat dan mengelakkan tindakan yang boleh mengundang keresahan awam.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!