'Ganggu kita nak bayar cash ni, semak!', tular hantaran Tiktoker sindir B40 di pasar raya | The Reporter

‘Ganggu kita nak bayar cash ni, semak!’, tular hantaran Tiktoker sindir B40 di pasar raya

Ramai pelanggan beratur dengan troli penuh di pasar raya, dirakam melalui kamera telefon seorang wanita.
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bantuan MySARA merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Melalui program ini, penerima bantuan boleh menggunakan sistem MyKasih untuk membeli barangan asas di pasar raya terpilih seperti Mydin.

Setiap kali bantuan dikreditkan, pasar raya terbabit akan dipenuhi pelanggan B40 yang memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan keperluan harian dengan lebih berpatutan. Namun, suasana ini kadang-kala menimbulkan kesesakan di kaunter pembayaran khas MyKasih yang hanya melayani transaksi bantuan tersebut.

Tiktoker didakwa sindir penerima bantuan

Situasi ini menjadi topik hangat di media sosial selepas seorang pengguna TikTok bernama Farah Dahlia memuat naik gambar troli penuh barangan di Mydin, disertakan kapsyen berbunyi:

“Hari cuti orang nak shopping, berlambak-lambak B40 nak ambil bantuan sara. Ganggu kita nak bayar cash ni… semakkk.”

Perkongsian itu mengundang reaksi marah netizen yang menganggapnya angkuh, tidak berempati dan memperlekeh golongan susah. Rata-rata menyifatkan tindakan Tiktoker itu sebagai tidak wajar, memandangkan pasar raya seperti Mydin sememangnya lokasi utama pembelian bagi rakyat biasa termasuk penerima bantuan.

Ramai menyarankan supaya mereka yang tidak selesa menunggu atau berasa ‘terganggu’ seharusnya berbelanja di pasar raya premium seperti Jaya Grocer atau Village Grocer, yang lebih tenang dan eksklusif. Tidak kurang juga yang menyindir gaya hidup mewah T20 tetapi membeli di tempat rakyat marhaen.

Respon susulan tambah minyak ke api

Selepas menerima kecaman bertubi-tubi, Farah Dahlia kemudiannya memuat naik hantaran lain menyatakan bahawa akaunnya diserang oleh B40 sejak pagi. Namun katanya, dia tidak kisah kerana menurutnya, itulah “level-level” mereka.

Dia turut menyatakan pendirian bahawa kehidupannya perlu sempurna dari segi kewangan dan pengajaran, sambil menyifatkan dirinya sebagai “wanita hebat”.

Kenyataan susulan itu memburukkan lagi keadaan apabila ramai menganggap dia tidak menunjukkan sebarang rasa insaf, sebaliknya terus memperlekeh golongan lain secara halus. Difahamkan, ruangan komen pada akaunnya juga telah ditutup susulan tekanan dari pengguna TikTok lain.

Apakah anda setuju bahawa sikap seperti ini melambangkan jurang empati dalam masyarakat kita? Atau adakah benar sistem pembayaran bantuan perlu dibaiki agar tidak timbul isu sebegini? Kongsikan pendapat anda di Facebook dan Instagram The Reporter.

Related Posts