Kementerian Komunikasi tidak berpuas hati dengan sikap platform media sosial, TikTok yang dianggap tidak serius menangani isu keselamatan, lapor Harian Metro.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata platform itu berulang kali gagal memberikan penyelesaian tuntas berhubung penipuan dan kes buli siber yang semakin membimbangkan.
Beliau menegaskan, pihak kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah meminta beberapa tindakan segera, termasuk menetapkan tempoh masa serta jumlah moderator kandungan. Namun, permintaan itu masih belum dipenuhi.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Kes buli siber jadi perhatian
Fahmi memberi contoh kes buli siber melibatkan mendiang Rajeswary Appahu atau “Esha”, yang menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat. TikTok pernah berjanji menambah moderator bagi kandungan termasuk siaran langsung, khususnya dalam bahasa Tamil, tetapi sehingga kini gagal memaklumkan jumlah sebenar.

Katanya, kementerian masih menerima aduan berkaitan buli siber terhadap komuniti India di TikTok, menunjukkan kelemahan kawalan kandungan di platform tersebut.
Amaran tindakan perundangan
Menteri itu turut memberi amaran bahawa kegagalan TikTok menangani masalah ini boleh membawa kepada tindakan undang-undang. Beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menilai langkah perundangan yang sesuai jika tiada kemajuan dicapai.
“Keengganan TikTok untuk mengambil tindakan tegas memberi kesan buruk kepada pengguna dan komuniti tertentu. Jika mereka masih berdiam diri, tindakan perundangan boleh diambil,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama PDRM dan pihak TikTok di Bukit Aman, Kuala Lumpur.








