Tiga sekeluarga maut, dilanggar lori Imigresen di Maju Junction | The Reporter

Tiga sekeluarga maut, dilanggar lori Imigresen di Maju Junction

Lori JIM terbabas dalam kemalangan maut yang meragut nyawa tiga sekeluarga di Maju Junction
Gambar: Sinar Harian

Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi Rabu selepas sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terbabas lalu merempuh mereka di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi Rabu.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.

Menurutnya, lori berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

Siasatan awal mendapati lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, manakala lampu beacon dan siren diaktifkan. Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyaratnya berwarna hijau.

Baca juga:

Perlanggaran berlaku di tengah persimpangan menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan tersebut.

Tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun. Isterinya, 55, turut dilanggar dan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Polis menahan pemandu lori JIM dan Proton Saga bagi membantu siasatan, manakala ujian alkohol serta saringan awal air kencing kedua-dua pemandu didapati negatif.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan takziah dan mengarahkan JIM menjalankan siasatan segera serta menyeluruh. Beliau menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi sekiranya terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang.

Related Posts