Tiga kali kereta diceroboh, pemilik kereta pertikai keselamatan kondo | The Reporter

Tiga kali kereta diceroboh, pemilik kereta pertikai keselamatan kondo

Bahagian kereta yang dileraikan pencuri termasuk enjin dan pemegang pintu yang diumpil dalam kejadian kecurian di kondominium berpagar.
Pemilik kereta di Southville City, Bangi persoal tahap keselamatan kondo.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemilik kereta yang menetap di kondominium Southville City, Bangi, meluahkan kekecewaan selepas menjadi mangsa kecurian komponen kenderaan sebanyak tiga kali, meskipun tinggal di kawasan berpagar yang sepatutnya mempunyai kawalan keselamatan ketat.

Menurut perkongsian video TikTok @imfarhana yang tular di media sosial, kejadian pertama berlaku pada Disember 2024 apabila keempat-empat rim sport serta brek kaliper Brembo milik suami mangsa dicuri ketika kereta diletakkan di lot parkir khas penghuni.

@mehuhuhuu

TOLONG VIRAL KAN KES NI! Kereta suami saya di parking di dalam basement apartment (guarded with access card) yg kami duduk sebab kereta ada kerosakan. Tetapi pihak yg bertanggungjawab mcm mahu lepas tgn dengan memberikan kami footage cctv yg rosak?! Kemudian nak saman saya atas sebab saya membuat posting mendatangkan fitnah yg boleh menyebabkan value property di tempat ni turun?! Masuk akal ke eh? Kami tak dipanggil untuk melihat footage cctv tersebut sebaliknya gmbr2 dia forwardkan daripada polis sahaja. Bukan dari pihak yg bertanggungjawab. 3 kali kes sejak bulan 12 2024. Ketiga-tiga kes kami buat report tapi takde tindakan yg munasabah. #fyp #kasiviral #fyp #fypage #fyppppppppppppppppppppppp #lancermalaysia #evo #mitsubishi #curikereta

♬ Tokyo Drift – Xavier Wulf

Kes kedua pula berlaku pada 13 April lalu, di mana komponen enjin serta muffler pula menjadi sasaran.

Apa yang lebih mengejutkan, hanya dua hari kemudian pencuri dipercayai individu sama sekali lagi berjaya menceroboh dan mengambil dua kerusi bucket serta spoiler kereta berkenaan. Kesemua kejadian dipercayai berlaku dalam kawasan parkir kondominium yang hanya boleh diakses menggunakan kad akses.

Mangsa mempertikaikan bagaimana pencuri boleh masuk dan beroperasi dengan mudah tanpa sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Malah, beliau mendakwa pihak pengurusan gagal mengambil tindakan pencegahan walaupun kejadian telah berulang, termasuk tiada tambahan rondaan keselamatan atau pemasangan kamera baharu.

Insiden itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan kemungkinan wujud penglibatan orang dalam. Ramai pengguna media sosial turut menyokong gesaan agar penduduk kondominium mengambil tindakan, termasuk mengadakan mesyuarat khas dengan pihak pengurusan demi keselamatan bersama.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh polis atau pengurusan kondominium berkenaan. Namun, pihak berkuasa disaran menyiasat segera kejadian ini yang jelas mengganggu ketenteraman penghuni dan mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan kawasan perumahan eksklusif seperti Southville City.

Related Posts