Suruhanjaya Pencegahan Rasuah memaklumkan tiada pendakwaan akan dilakukan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu, yang mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut.
“SPRM juga sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah KPM itu,” katanya.
Bagaimanapun, SPRM berkata, Bahagian Penyiasatan Tatakelola mengambil langkah susulan dengan memberi tumpuan kepada siasatan dari aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.
Dalam kenyataan tersebut juga menyatakan TPR juga mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor penambahbaikan.
“Antara langkah utama yang disyorkan ialah supaya KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang dipersetujui,” katanya.








