Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik bagi 85 peratus pengguna domestik sehingga 30 Jun 2025, menurut Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman.
Keputusan ini selaras dengan pengumuman kerajaan pada 20 Disember lalu untuk melindungi rakyat daripada sebarang kenaikan harga elektrik.
Nazmi menjelaskan, kos kenaikan tarif akan ditampung oleh kerajaan melalui pelbagai kaedah termasuk dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Dalam tempoh ini, pengguna domestik tidak akan terjejas,” katanya semasa taklimat media di Bangsar.
Tambahnya, kerajaan akan melakukan kajian semula struktur tarif sebelum jadual semasa tamat.
“Keputusan baharu dijangka diumumkan sebelum Julai, berdasarkan harga semasa arang batu, gas dan bahan api,” jelas beliau.
Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif tidak boleh membebankan rakyat, sebaliknya perlu ditujukan kepada golongan industri yang meraih keuntungan tinggi. Anwar turut mengarahkan penjelasan daripada TNB melalui Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Setakat ini, TNB merekodkan sembilan juta akaun pengguna domestik dan sejuta akaun pengguna komersial, dengan jaminan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan.
Sumber: Bernama








