'Tiada jet peribadi, guna wang sendiri tunai haji', Nurul Izzah jawab isu fitnah | The Reporter

‘Tiada jet peribadi, guna wang sendiri tunai haji’, Nurul Izzah jawab isu fitnah

Nurul Izzah Anwar bersama suami ketika menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci
Nurul Izzah menafikan dakwaan tidak berasas mengenai perjalanan ibadah Haji dia dan suami. Gambar: Facebook Nurul Izzah Anwar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tampil menjelaskan kedudukan sebenar berhubung penyebaran pelbagai mesej dan hantaran yang dianggap berunsur fitnah terhadap dirinya dan suami berkaitan ibadah Haji yang sedang mereka jalani.

Dalam kenyataan yang dikongsikan, Nurul Izzah menegaskan bahawa beliau dan suami menunaikan ibadah Haji melalui visa mujamalah. Segala urusan logistik seperti penginapan dan pengangkutan telah diuruskan oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Mereka juga menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri bagi menampung kos perjalanan tersebut.

“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan kami dilakukan seperti jutaan jemaah Haji yang lain,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir pihak yang sanggup menjadikan ibadah sebagai bahan tohmahan dan fitnah semata-mata kerana perbezaan pandangan politik.

“Dalam kita bertarung di medan politik dunia, jangan sampai ibadah dijadikan senjata fitnah. Biarlah kita saling mendoakan sesama Muslim agar Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan dimudahkan, amal diterima dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” tambahnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan momen paling menyentuh hati adalah ketika berada di Arafah bersama suami, tempat bersejarah di mana Allah SWT menurunkan ayat ketiga Surah al-Maidah, yang menandakan kesempurnaan agama Islam.

“Saya bersyukur diberi peluang melaksanakan ibadah Haji bersama suami. Ia adalah satu anugerah yang terlalu besar maknanya buat kami,” katanya.

Related Posts