Kumpulan The 1975 yang membuat onar di Festival Good Vibes 2023 di Sepang Julai lalu diarahkan untuk membayar denda RM12.3 juta kepada penganjur konsert, Future Sound Asia.
Peguam yang mewakili penganjur, David Dinesh Matthew berkata, arahan itu dibuat disebabkan kumpulan itu telah melanggar kontrak yang menyebabkan festival itu dibatalkan oleh kerajaan serta-merta.
Sekiranya The 1975 gagal berbuat demikian, mereka akan dihadapkan ke mahkamah sivil di United Kingdom.
“Tuntutan oleh Future Sound Asia pada asasnya ialah The 1975 telah melanggar kewajupannya di bawah kontrak untuk membuat persembahan.
“Yang penting, wakil penyanyi utama kumpulan itu, Matt Healy, memberi jaminan bertulis sebelum persembahan bahawa mereka akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan tempatan,” katanya memetik laporan daripada MalaysiaKini.
22 Julai lalu, Matt Healy secara terbuka menghina undang-undang Malaysia yang berkaitan dengan LGBT dan mencium pemain gitarnya di khalayak ramai. Selain itu, Matt juga dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa membuat persembahan.
Sumber: MalaysiaKini, Sinar Harian