Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Thailand menangguhkan rundingan sempadan bersama Kemboja susulan pelanggaran genjatan senjata yang dilaporkan berlaku sejak perjanjian damai diumumkan malam Isnin lalu.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, Panglima Tentera dari Kawasan Tentera Darat Pertama dan Kedua kini sedang mengadakan mesyuarat bagi menyemak semula butiran operasi dan membuat persiapan untuk rundingan seterusnya dengan pihak Kemboja.
“Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau yang dijadualkan sebelum ini turut ditangguhkan sementara waktu bagi membolehkan penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan di kawasan sempadan,” katanya dalam sidang media.
Menurut Jirayu, walaupun genjatan senjata berkuat kuasa secara rasmi pada jam 12 tengah malam, 28 Julai, terdapat laporan mengenai insiden pelanggaran perjanjian tersebut.
“Pihak tentera Thailand akan terus mengekalkan kehadiran anggota di kawasan terlibat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mempertahankan kedaulatan negara,” tegasnya.
Thailand juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menghubungi pemerhati antarabangsa termasuk China dan Amerika Syarikat bagi mendokumentasikan situasi semasa, termasuk sebarang pertempuran yang berlaku selepas genjatan senjata dikuatkuasakan.
Komited laksanakan operasi kententeraan
Tambah beliau, Thailand tetap komited menjalankan semua operasi ketenteraan berdasarkan prinsip kemanusiaan dan norma undang-undang antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Thailand turut mendakwa lebih 500 juta cubaan serangan maklumat (information operations/IO) dikesan sejak beberapa hari lalu, dipercayai berasal dari Kemboja.
“Ia melibatkan penyebaran maklumat palsu dan berita tidak sahih oleh sindiket penipuan siber yang bertujuan menimbulkan kekeliruan serta memburukkan imej Thailand di mata dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, pelanggaran perjanjian genjatan senjata yang dipersetujui di Putrajaya pada 28 Julai, memaksa negara itu bertindak balas secara ketenteraan demi melindungi keselamatan orang awam di kawasan sempadan.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan Thailand telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, China dan Amerika Syarikat, dengan menuduh Kemboja menunjukkan sikap kurang jujur dan ikhlas dalam mematuhi perjanjian damai yang dimeterai.
“Thailand tidak mencari konfrontasi, namun pelanggaran yang dilakukan memaksa kami bertindak mempertahankan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.
- Video kembali tular, restoran di Iran enggan terima bayaran pelanggan China
- Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
- Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran
Langkah berjaga-jaga
Susulan insiden tersebut, semua cabang angkatan tentera Thailand telah diarahkan untuk berada dalam kesiapsiagaan penuh, sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang bentuk pencerobohan atau ancaman dari pihak luar.
Walau bagaimanapun, Phumtham memaklumkan bahawa pegawai tertinggi tentera dari kedua-dua negara masih meneruskan pertemuan teknikal berdasarkan perjanjian yang sedia ada, dan rundingan peringkat lebih tinggi sedang dirancang bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.
Kerajaan Thailand turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat palsu yang tular, khususnya berkaitan prosedur pemindahan atau dakwaan memburukkan pasukan keselamatan. Pihak berkuasa menyifatkan penyebaran maklumat sedemikian sebagai “taktik politik dari Kemboja” untuk menjejaskan kestabilan.
Konflik bersenjata yang tercetus minggu lalu di kawasan sempadan menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah, manakala puluhan dilaporkan maut.
Persetujuan genjatan senjata dicapai dalam Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN dan hos kepada pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Sumber: FB PR Thai Government








