Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan pengislaman saudara baru, seorang lelaki India.
Dalam satu kenyataan di Facebook ABIM, lelaki berusia 48 tahun itu dikatakan mengucapkan syahadah di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Difahamkan, kejadian tanah jerlus yang berlaku baru-baru ini telah membuka hati lelaki tersebut untuk memeluk Islam.
Menerusi satu laporan, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, lelaki yang terselamat dari terjatuh dalam tanah jerlus menyifatkan kejadian terbabit mempunyai hikmah tersendiri yang membuka pintu hatinya memeluk Islam.
Kongsinya lagi, lelaki berkenaan datang sendiri ke ABIM dan menyatakan hasratnya.
“Daripada maklumat diterima, lelaki itu memberitahu pegawai kami, dia sudah lama menyimpan hasrat memeluk Islam kerana sentiasa mengingati pesanan seorang imam yang ditemuinya semasa kecil iaitu jangan makan makanan haram dan tidak bersih serta jangan bercakap buruk tentang agama Islam.
“Namun, menurutnya tanah jerlus di Masjid India menjadi ‘wake up call’ (penyedaran) untuk dia memeluk Islam kerana dia percaya ada hikmahnya, menyebabkan baru kami sedar rupanya dia salah seorang individu yang berada di lokasi kejadian itu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fahmi memaklumkan lelaki yang bernama Kalidass atau nama Islamnya Haridath tidak mahu identiti sebenarnya didedahkan.
Susulan itu juga, pihak ABIM meminta orang ramai supaya memberi ruang dan mendoakan lelaki tersebut serta menghormati privasinya.








