Terlibat skandal 1MDB, Tim Leissner sebak, mohon maaf kepada rakyat Malaysia | The Reporter

Terlibat skandal 1MDB, Tim Leissner sebak, mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Tim Leissner akui kesilapan, mohon maaf pada rakyat Malaysia terlibat skandal 1MDB
Tim Leissner dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas penglibatannya dalam skandal 1MDB. Gambar: The Edge Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, dijatuhi hukuman penjara dua tahun di mahkamah New York pada Khamis selaku peranan utama dalam skandal berbilion dolar melibatkan dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat menganggarkan AS$4.5 bilion telah diseleweng dalam satu skim penipuan rumit yang merentasi pelbagai negara dan melibatkan pegawai tertinggi 1MDB, bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, eksekutif Goldman Sachs dan individu lain.

Leissner, yang merupakan bekas Pengerusi Serantau Asia Tenggara Goldman Sachs, mengaku bersalah pada tahun 2018 atas kesalahan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan peranannya dalam skandal tersebut.

Mohon maaf pada rakyat Malaysia

Dalam kenyataannya di mahkamah, Leissner dengan nada sebak memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyesali tindakan yang dibuat.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf secara ikhlas kepada rakyat Malaysia. Saya amat menyesali tindakan saya,” katanya.

Memetik laporan NST, Goldman Sachs telah membantu menjual bon bernilai AS$6.5 bilion bagi pihak 1MDB, yang ditubuhkan oleh Najib dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low), kononnya untuk pembangunan ekonomi. Namun sebahagian dana tersebut telah disalurkan ke akaun luar pesisir dan syarikat palsu yang dikaitkan dengan Jho Low, yang kini menjadi buruan.

Selepas ditangkap pada 2018, Leissner menjadi saksi kerajaan AS dalam siasatan kes ini. Beliau dibenarkan bebas dengan syarat memberikan kerjasama penuh dan memberi keterangan terhadap rakan sekerjanya, Roger Ng.

Ng yang merupakan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia telah didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang antirasuah. Beliau dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan dihantar pulang ke Malaysia pada 2023 bagi membantu siasatan.

Skandal 1MDB beri kesan pada keluarga, kesihatan

Pihak pendakwa menyatakan Leissner telah bertemu dengan pihak kerajaan berkali-kali, menyemak pelbagai dokumen dan komunikasi berkaitan skim 1MDB serta perkara lain.

Pendakwa juga memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada garis panduan kerana kerjasama Leissner yang signifikan.

Leissner turut memberitahu bahawa beliau kehilangan kebebasan, keluarga dan kestabilan kewangan akibat skandal ini. Malah, kesihatannya juga terjejas hingga memerlukan ubat dan pernah hilang semangat untuk hidup.

Related Posts