Terlibat kes penganiayaan, 5 Pegawai Kadet ALK UPNM diberhentikan | The Reporter

Terlibat kes penganiayaan, 5 Pegawai Kadet ALK UPNM diberhentikan

Sumber Gambar: FMT

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Lima pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diberhentikan.

Menurut Menteri Pertahanan Khaled Nordin, kelima-lima mereka juga diarah untuk membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan.

Tindakan berkenaan katanya tidak tertakluk dengan tindakan lain yang dikenakan oleh UPNM serta Jabatan Peguam Negara.

“ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima orang pelaku itu termasuklah pembatalan pelantikan sebagai PK, pemberhentian kerja daripada perkhidmatan tentera dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Bagi kes pertama katanya, pelaku Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan telah menekap seterika ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala, pada 28 Oktober.

Menurutnya, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) itu dibatalkan pelantikan sebagai PK, selain perlu membayar ganti rugi RM44,600.

“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 Nov dan prosiding masih berjalan,” katanya.

Kes kedua pula melibatkan tiga pelaku Izzat Izuddin Mohammad Arif (pengambilan 2021); Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pengambilan 2023), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pengambilan 2021) yang melakukan penganiayaan terhadap Alief Ahsreihan Ahslemy.

“Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM48,452.75; RM19,481.70, dan RM44,600.20,” katanya.

Seterusnya bagi kes ketiga pula, yang melibatkan penganiayaan secara fizikal oleh Ammar Hafiy Muhammad Habib (pengambilan 2022) terhadap Yeong Kian Rui dengan melibatkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan dikenakan bayaran ganti rugi RM32,115.95,” katanya.

Dalam pada itu, Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelak kejadian berulang.

Sumber: Free Malaysia Today

Related Posts