Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Demi mahukan gaya hidup yang tampak mewah, golongan belia terutamanya dikatakan telah dibebani hutang seawal usia 20 tahun.
Menurut Pakar Kewangan Pengguna, sindrom Fear of Missing Something (FOMO) dan mentaliti You Only Live Once (Yolo) membuatkan golongan belia terjerat dengan bebanan hutang dan trend ini dilihat sangat membimbangkan.
“Terpaksa meminjam untuk beli pelbagai barangan keperluan adalah satu perkara amat serius kerana dalam pengurusan kewangan, kita tidak sepatutnya berbuat demikian untuk kelangsungan hidup.
“Contohnya terpaksa membuat pinjaman bank atau institusi kewangan lain untuk beli barangan keperluan harian, sewa rumah, bayar kereta,” katanya.
Katanya, golongan belia sepatutnya berfikir sebaiknya tujuan meminjam adalah semata-mata untuk keperluan atau kehendak.
Terlalu banyak kemudahan pinjaman wang
Tambahnya lagi kemudahan pinjaman seperti Atome atau skim pinjaman yang digunakan oleh mana-mana jualan dalam talian (beli sekarang, bayar kemudian’) menyebabkan terdapat golongan pelajar juga mula berjinak-jinak ke arah itu.
“Sebaliknya, ramai daripada mereka ini sanggup meminjam hanya semata-mata mahu mengikut kehendak membeli telefon bimbit terkini dan sanggup buat pinjaman peribadi.
“Malah mereka ini juga gunakan konsep FOMO, YOLO dan banyak mengikut trend semasa tanpa melihat keperluan kewangan sendiri. Kawan pula dengan anak orang kaya, lihat orang ada, dia pun nak ada. Jadi untuk dapatkan barangan itu dia buat la hutang,” katanya.
Terdahulu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan terdapat 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.
Sumber: Berita Harian








