‘Tergerak hati nak rakam, kali ini dia tunjukkan diri’ - Polis Bantuan dakwa jumpa Pontianak - The Reporter

‘Tergerak hati nak rakam, kali ini dia tunjukkan diri’ – Polis Bantuan dakwa jumpa Pontianak

Sumber gambar: TikTok Ikhmal

Seorang polis bantuan baru-baru ini telah menarik perhatian ramai apabila memuat naik video entiti yang dipercayai pontianak. Menerusi video itu juga kedengaran suara menakutkan makhluk berkenaan.

Walau bagaimanapun video tersebut mengundang pelbagai persepsi netizen yang meragui ketulenan video tersebut.

Polis bantuan itu yang dikenali sebagai Ikhmal bagaimanapun menyerahkan kepada netizen sama ada mahu percaya atau tidak dengan pengalaman yang dilaluinya itu.

Niat nak beri peringatan jangan takut dan taksub

“Ada yang percaya dan kongsi pengalaman seram mereka di ruangan komen. Bagaimanapun, ada juga kata saya cuba menipu dan muat naik video berkenaan untuk tujuan content (bahan kandungan perkongsian semata-mata).

“Terpulang kepada yang menonton percaya atau sebaliknya kerana itu hak masing-masing dan untuk apa menipu kerana saya sendiri melaluinya.

“Niat saya cuma nak berkongsi pengalaman dan beri peringatan kepada orang di luar sana supaya jangan terlalu takut atau taksub,” katanya.

Menurut Ikhmal, dia ‘terserempak’ dengan makhluk itu ketika membuat rondaan bersama rakan setugas.

“Insiden itu berlaku kira-kira 2 pagi dan kebetulan, saya dan rakan sedang membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika membuat rondaan itu, kami terdengar bunyi dan nampak seperti ada orang masuk ke dalam kawasan semak.

“Memandangkan ia kawasan larangan yang tidak boleh diceroboh maka kami yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) peronda. Terus bergegas ke kawasan berkenaan untuk membuat rondaan dan pemeriksaan.

“Alangkah terkejutnya kami apabila nampak pontianak di kawasan itu namun saya sempat capai telefon bimbit dan rakam video penampakan berkenaan,” katanya.

Simpan di TikTok untuk kenangan

Ikhmal berkata, video itu kemudiannya dimuat naik di TikTok untuk disimpan sebagai kenangan selain berkongsi pengalaman dilaluinya ketika bertugas. Dalam tempoh singkat, videonya itu mendapat perhatian hingga meraih banyak tontonan dan tular di laman sosial.

Menurut Ikhmal, sudah lapan tahun dia mencari rezeki sebagai polis bantuan dan banyak pengalaman dilaluinya sepanjang tempoh itu termasuk yang menyeramkan.

Bagaimanapun, Ikhmal mengakui pertama kali melihat sendiri kelibat pontianak di depan matanya sendiri tempoh hari.

“Bunyi gangguan itu biasa terutama ketika bertugas pada waktu malam dan awal pagi malah orang lama juga pernah cerita pengalaman mereka terjumpa makhluk berkenaan.

“Lagipun, kawasan itu pun asalnya ladang kelapa sawit yang kemudiannya dibangunkan cuma mereka (orang lama) sekadar nampak tetapi tak rakam.

“Rezeki saya pula apabila tergerak hati nak rakam apa dilihat pada waktu itu dan mujurlah terkejut saja, tidak sampai demam selepas melihatnya.

Tak berniat takutkan sesiapa

“Nak kata percaya (alam ghaib) memang iya kerana dalam al-Quran juga ada disebutkan mengenainya cuma niat saya nak kerja cari duit jadi enggan terlalu takut memandangkan kita semua makhluk Allah dan berkongsi hidup di dunia ini,” katanya.

Ikhmal berharap, perkongsiannya itu diambil daripada sudut positif kerana bukan niatnya untuk menakutkan sesiapa.

“Diharap apa dikongsikan itu tidak mematahkan semangat sesiapa terutama adik-adik yang berminat ceburi bidang ini.

“Anggap saja ia lumrah dan salah satu cabaran dalam tugas kerana lama kelamaan kita akan lali dengannya,” katanya.

Tinjauan ke akaun TikTok milik Ikhmal bagaimanapun telah ditukar ke dalam bentuk ‘privasi’.

Sumber: Buletin Utama, Harian Metro, Ikhmal 24434

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!