Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kenaikan premium insurans perubatan yang semakin tinggi menjadi isu yang membebankan ramai rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang sudah bersara dan berpendapatan tetap. Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai kemampuan rakyat untuk terus membayar caruman bulanan yang meningkat secara mendadak.
Baru-baru ini, seorang wanita meluahkan kekecewaannya di media sosial selepas terpaksa menamatkan polisi insurans takaful yang diambil sejak 2009 akibat kenaikan caruman yang terlalu tinggi.
Wanita tersebut, dikenali sebagai Norashikin Yusof, menjelaskan pada awalnya, premium bulanan yang dibayar hanyalah sekitar RM200. Namun, selepas mencapai umur 55 tahun, caruman meningkat kepada lebih RM500 sebulan. Apabila mencapai umur persaraan, jumlah tersebut meningkat lagi kepada lebih RM750 sebulan.
“Tahun lepas, insurans kata premium terpaksa dinaikkan kepada RM1,056 sebulan. Saya rasa ini sudah melampau. Mereka sepatutnya menilai penggunaan takaful kita,” katanya.

Norashikin turut mendedahkan beliau hanya menggunakan insurans perubatannya untuk pembedahan kecil pada mata dan rawatan demam denggi. Walaupun penggunaan perkhidmatannya tidak kerap, kenaikan premium dianggap tidak masuk akal. Beliau turut menyuarakan rasa kecewa apabila permintaannya untuk pertimbangan semula ditolak oleh pihak insurans.
“Saya mohon pertimbangan, tetapi ditolak. Jadi, saya tiada pilihan selain menamatkan polisi ini kerana saya rasa tidak masuk akal untuk bayar premium sampai RM1,000 lebih,” tambahnya.
Luahan tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa mengenai kenaikan caruman insurans perubatan yang dirasakan membebankan. Ada yang menyuarakan pendapat mereka juga mungkin terpaksa menamatkan polisi sedia ada dan mencari alternatif lain yang lebih mampu milik.








