Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan | The Reporter

Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan

Teo Nie Ching akui kesal gagal merealisasikan pengiktirafan UEC
Teo Nie Ching mengakui penyesalan berhubung pengiktirafan UEC ketika menjawat Timbalan Menteri Pendidikan. | Gambar: FB Teo Nie Ching

Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching, tampil secara terbuka mengakui kegagalannya merealisasikan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika Pakatan Harapan mentadbir antara 2018 hingga 2020 sebagai satu penyesalan peribadi yang masih dirasainya hingga kini.

Dalam kenyataan media itu, Teo menegaskan beliau tidak pernah menyembunyikan statusnya sebagai pemegang UEC, malah sejak awal konsisten mempertahankan pendirian bahawa pengiktirafan UEC adalah baik untuk Malaysia.

Katanya, UEC bukan ancaman kepada identiti nasional, sebaliknya mampu menguatkan sistem pendidikan dan pembangunan bakat negara.

Teo secara jujur mengakui wujud kekangan yang berada di luar kawalannya ketika beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. Namun, katanya, kegagalan tersebut tidak pernah dinafikan atau disorok, malah beliau pernah memohon maaf secara terbuka kepada penyokong pada 2020 berhubung janji pengiktirafan UEC dalam tempoh setahun.

Baca juga:

Tolak dakwaan bermuka-muka, kekal tegas

Mengulas kritikan terhadap dirinya, Teo menolak dakwaan kononnya beliau bercakap berbeza mengikut khalayak atau sengaja memainkan isu UEC untuk tujuan tertentu. Tegasnya, pendiriannya tidak pernah berubah, tidak kira dengan siapa beliau bercakap atau di hadapan komuniti mana.

Beliau juga menafikan tuduhan bahawa dirinya tidak berminat mencari penyelesaian terhadap isu UEC. Menurut Teo, walaupun persepsi negatif terhadap ahli politik sering wujud, hakikatnya tiada pemimpin yang tidak mahu menunaikan janji yang pernah dibuat kepada rakyat.

“Saya tidak apologetik kerana bertegas mempertahankan pengiktirafan UEC,” tegasnya, sambil menyatakan keyakinan bahawa langkah tersebut adalah hala tuju dasar yang betul untuk masa depan Malaysia.

Teo menegaskan perbincangan mengenai UEC seharusnya berpijak pada fakta, bukannya sindiran atau tuduhan peribadi. Katanya, komitmennya kekal tidak berubah bahawa Malaysia akan menjadi negara yang lebih kuat apabila semua aliran pendidikan yang menyumbang kepada pembinaan negara dihargai dan diiktiraf.

Sumber: Facebook Teo Nie Ching

Related Posts