'Tentera Bawang' kedengaran lucu, tetapi memalukan negara - Laporan - The Reporter

‘Tentera Bawang’ kedengaran lucu, tetapi memalukan negara – Laporan

Foto hiasan sahaja | Kredit foto: Ros Saniy II

Nama ‘Tentera Bawang’ mungkin terdengar lucu, tetapi kesannya sangat serius. Malaysia menduduki tangga kelima dunia dalam kategori buli siber, menurut kajian Institut Kajian Pasaran (IPSOS). Bagi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Malaysia juga menduduki tangga kedua di Asia dalam kadar buli siber.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Tentera Bawang’? Ia merujuk kepada individu atau kumpulan yang menggunakan media sosial untuk menyerang atau mengecam orang lain secara tidak bertanggungjawab. Mereka seringkali bergerak dalam jumlah besar dan membanjiri akaun media sosial seseorang dengan komen negatif, menghantar mesej berbaur hasutan atau menghina secara terbuka.

Sebagai contoh, insiden antara pelumba basikal trek Malaysia, Shah Firdaus Sahrom, dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano, semasa temasya Olimpik di Paris. Dua pelumba berkenaan terlibat dalam satu insiden perlanggaran menyebabkan Shah Firdaus hilang peluang untuk memenangi pingat.

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, ribuan ‘tentera bawang’ dari Malaysia membanjiri ruangan komen di akaun Instagram Nakano, meluahkan kemarahan mereka terhadap atlet Jepun tersebut.

Di temasya Olimpik Tokyo sebelum ini, atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, juga mengalami situasi serupa. Beliau dinafikan pingat emas selepas atlet para lontar peluru Ukraine, Maksym Koval, mengemukakan protes. Sekali lagi, ‘tentera bawang’ bertindak menyerang laman sosial Koval hingga dia terpaksa menutup akaun sedia ada dan membuka akaun media sosial baharu.

Kedua-dua insiden ini menunjukkan bahawa, buli siber adalah isu yang semakin serius dan perlu ditangani dengan berkesan.

Kerajaan Malaysia telah mengkaji kemungkinan mewujudkan Akta Anti Buli Siber untuk mengatasi gejala ini. Namun, kita juga perlu mengingatkan diri kita bahawa penggunaan media sosial harus bertanggungjawab dan beretika.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!