Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda | The Reporter

Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda

Tengku Ampuan Pahang tawar penempatan kepada Orang Asli Kampung Sungai Cot di Kuala Wau, Maran
Gambar: Facebook Kesultanan Pahang.

Isu pertikaian tanah yang melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Maran mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menzahirkan rasa simpati, dukacita serta keprihatinan terhadap keadaan yang dihadapi mereka.

Memetik laporan Berita Harian, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda sentiasa mengikuti perkembangan isu berkenaan serta memahami kegusaran dan kesulitan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja sebahagian daripada rakyat Pahang, malah mempunyai tempat istimewa di hati baginda. Katanya, menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan baginda ketika ini, peranan Orang Asli diiktiraf sebagai penting dalam pembangunan negeri sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, atas rasa kasih dan tanggungjawab terhadap masyarakat berkenaan, baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan menetap di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Katanya, baginda turut memberi jaminan bahawa masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.

“Sekiranya tanah milik baginda di Kuala Wau dibangunkan pada masa hadapan, mereka yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.

“Pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot sahaja, malah mana-mana masyarakat Orang Asli yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga dipersilakan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau selepas mendapat perkenan baginda dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, baginda berharap pelawaan berkenaan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

Baginda turut menyeru semua pihak yang terlibat supaya mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding secara penuh hikmah bagi mencari jalan penyelesaian yang adil serta berhemah demi kesejahteraan masyarakat Orang Asli dan keharmonian negeri Pahang.

Related Posts