Tekanan belajar dan sering dimarahi punca remaja tikam ibu & abang sehingga maut | The Reporter

Tekanan belajar dan sering dimarahi punca remaja tikam ibu & abang sehingga maut

Remaja lelaki ditahan polis, disyaki membunuh ibu dan abangnya
Remaja lelaki ditahan, disyaki membunuh ibu dan abang kandungnya. Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut akibat tekanan belajar serta sering dimarahi. Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Melaka.

Suspek dikatakan masuk ke bilik ibunya yang juga seorang cikgu dan ibu tunggal sebelum menikam mangsa berusia 51 tahun dengan pisau lipat. Anak sulung mangsa berusia 21 tahun cuba meleraikan kejadian namun turut ditikam dan maut. Kedua-dua mayat ditemui di ruang tamu rumah.

Anak bongsu berusia 13 tahun turut cedera parah namun dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, motif kejadian ialah dendam, tekanan perasaan dan rasa terpendam suspek. Tiada unsur jenayah lain dikesan. Mangsa mengalami kesan tikaman di leher, pinggang dan belakang. Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Suspek turut membuang pakaian berdarah ke dalam semak dan mengaku melakukan perbuatan tersebut. Ketika polis tiba, suspek ditemui termenung di luar rumah dalam keadaan terpinga-pinga.

Menurut jiran, keluarga ini sering bergaduh dan keadaan rumah selalu bising. Rakaman CCTV rumah jiran mengesahkan tiada individu lain masuk ke rumah dan suspek dilihat cuba melupuskan barang bukti.

“Boleh dikatakan keluarga ini hari-hari ada pergaduhan, maklumat daripada jiran-jiran memang keadaan bising selalu berlaku yang mana ibu dan abang sering memarahi mangsa.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran, kita dapati memang tiada orang lain yang masuk ke rumah mangsa dan melihat suspek cuba melupuskan barang kes,” katanya lagi.

Remaja itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts