Satu kemalangan maut melibatkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun apabila motosikal yang ditunggang terbabas di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada pagi Ahad.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah siasatan mendapati kemalangan terjadi apabila sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di tengah jalan. Mangsa kemudian tercampak di lorong kanan sebelum dirempuh dua buah motosikal lain yang datang dari arah sama.
“Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua penunggang motosikal terbabit dipercayai telah melarikan diri sejurus kejadian,” katanya.
Baca juga:
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
- ‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang
Sehubungan dengan itu juga, beliau menyeru kepada semua individu yang terlibat serta saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial merakamkan insiden berkenaan. Beberapa pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian turut membunyikan hon dan memberhentikan kenderaan.
Sumber: Sinar Harian, Update Info








