Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pembangkang menegaskan bahawa kritikan mereka bukan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menari bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, tetapi kerana kebimbangan terhadap kandungan perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-AS.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata mereka “tidak dengki” melihat Perdana Menteri beraksi di pentas rasmi, namun mempersoalkan implikasi perjanjian yang didakwa menjejaskan maruah negara.
“Kami tak dengki pun kau menari dengan Trump. Apa yang kami persoalkan ialah tentang perjanjian, tentang maruah kerajaan, maruah negara,” katanya.
Bukan soal menari, tapi soal perjanjian
Hamzah berkata demikian selepas sesi taklimat oleh Menteri MITI Tengku Zafrul berhubung perjanjian tersebut di Parlimen.
Menurutnya, pembangkang mendesak penjelasan jelas terutamanya mengenai Perkara 3.3 berkaitan perdagangan digital, selain memastikan kerajaan tidak menggadaikan kepentingan Malaysia.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Dalam pada itu juga, beliau secara sinis turut menyatakan jika Anwar lebih berminat menari, beliau boleh menukar profesion dan “mewakili Malaysia” dalam pertandingan menari.
Terdahulu, video Anwar menari ketika menyambut ketibaan Trump di Malaysia serta pada majlis makan malam Sidang Kemuncak ASEAN tular, mencecah lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.
Walaupun persembahan itu mengundang pujian dan kritikan, pembangkang menegaskan perkara lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah isi perjanjian.
Perjanjian itu mengekalkan kadar tarif timbal balik 19%, manakala Malaysia pula mendapat pengecualian tarif bagi beberapa produk termasuk semikonduktor dan komponen elektronik, antara eksport utama ke AS.
Sumber: MalaysiaKini








