Tidak peduli dengan tekanan antarabangsa yang mendesaknya mengadakan gencatan senjata, sebaliknya Perdana Menteri Israel berkata tentera Israel akan meneruskan serangan darat yang dirancang di Rafah.
“Tekanan antarabangsa tidak akan menghalang kami daripada merealisasikan semua matlamat perang iaitu menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan kami dan memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.
“Untuk merealisasikannya, kami juga akan beroperasi di Rafah,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang menyokong perang dilancarkan Israel berkata, pencerobohan ke atas Rafah ‘melampaui had’ tanpa rancangan perlindungan awam yang boleh dipercayai.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken kelmarin berkata, Washington mahukan ‘rancangan yang jelas dan boleh dilaksanakan’ untuk Rafah bagi memastikan orang awam ‘terhindar daripada bahaya’.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tedros Adhanom Ghebreyesus, merayu kepada Israel ‘atas nama kemanusiaan’ untuk tidak melancarkan serangan ke atas Rafah.
Sementara itu, Pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, beliau meluluskan rancangan tentera untuk operasi di Rafah, walaupun tiada garis masa diberikan.
Sumber: Berita Harian








