Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan premis makanan dan minuman jenama Tealive yang diusahakan oleh Syarikat Loob Integrated Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah bagi premis-premis yang telah dipersijilkan halal.
Kenyataan tersebut susulan isu tular mengenai status halal jenama Tealive kononnya didakwa telah diharamkan oleh JAKIM kerana terkandung bahan yang tidak halal.

“Untuk makluman, tular tersebut adalah tular berulang sejak sekian lama dan disebarkan pada setiap tahun oleh pihak tidak bertanggungjawab. Pastinya isu yang ditularkan tersebut adalah tidak benar.
“Mana-mana premis, perkhidmatan atau produk yang telah dipersijilkan halal maka, sumber bahan mentah yang digunakan, kawasan pemprosesan juga semua proses penghasilannya telah melalui proses pemeriksaan menyeluruh oleh pihak Berkuasa Berwibawa pensijilan halal Malaysia.
“Ia bagi memastikan pematuhan pemohon terhadap piawaian dan keperluan syariah mahu pun perundangan dan peraturan yang berkuatkuasa sebelum diluluskan,” tulis kenyataan itu.
Berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu maklumat
Justeru itu, masyarakat diingatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.
“Masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat yang menular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.
“Kami juga ingin menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna yang bijak dan bermaklumat supaya tidak mudah dipengaruhi dengan sebaran palsu sebegini,” katanya.
Pihak Tealive turut menafikan dakwaaan tular itu dan meminta masyarakat merujuk pada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM.

Sumber: Bahagian Hab Halal, JAKIM








