Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di hadapan simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Baling, Brandon Richard Joe berkata, bayi terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Baling akibat kecederaan parah yang dialami dalam nahas berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isterinya berusia 41 tahun serta anak mereka berusia lima bulan dari arah Gerik menghala ke Kupang.
“Manakala sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun turut datang dari arah sama iaitu dari Kelantan menghala ke Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta, isterinya dan bayi berkenaan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, penumpang bayi yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Baling,” katanya.
Baca juga:
- Bayi maut dalam nahas di Baling, pemandu lori disyaki positif dadah
- Annuar Musa akui penyatuan Melayu masih berdepan cabaran
- Tengku Hassanal kecewa keputusan kerajaan Pusat tidak ambil kira kepentingan Pahang
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemandu lori terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan selepas saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Sumber: Sinar Harian









