Guna sikit, bayar sikit – Rakyat mula nikmati tarif elektrik baharu mulai 1 Julai | The Reporter

Guna sikit, bayar sikit – Rakyat mula nikmati tarif elektrik baharu mulai 1 Julai

Menara pencawang elektrik tinggi di bawah langit senja, simbolik perubahan tarif elektrik di Malaysia
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Tarif elektrik baharu bermula 1 Julai 2025 untuk 23.6 juta pengguna
• Caj lebih adil – pengguna jimat tenaga akan bayar kurang
• Kos bahan api diselaraskan automatik ikut pasaran semasa

Struktur tarif elektrik baharu akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, melibatkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia. Ia dijangka memberi manfaat terutama kepada isi rumah yang berjimat dalam penggunaan elektrik, menerusi kadar yang lebih progresif dan dinamik.

Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), penetapan tarif ini adalah sebahagian daripada Tempoh Regulatori Keempat (RP4) di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). Antara yang diperkenalkan termasuk kadar asas baharu, pengasingan lebih jelas antara pengguna dan mekanisme pelarasan bahan api secara automatik.

Apa perubahan utama dalam tarif elektrik bermula Julai ini?

Struktur baharu menetapkan kadar purata asas sebanyak 45.40 sen/kWj, sedikit rendah berbanding 45.62 sen sebelum ini. Penurunan ini walaupun kecil, sebahagiannya mencerminkan penjimatan yang boleh dinikmati pengguna domestik yang bijak guna tenaga.

Tarif kini akan lebih adil kerana pengguna rumah yang guna sikit akan bayar kurang, manakala pengguna berat seperti rumah besar atau premis yang guna elektrik tinggi akan membayar lebih mengikut blok penggunaan. Caj elektrik juga akan lebih tersusun berdasarkan kategori voltan rendah, sederhana atau tinggi dan bukannya satu kadar pukul rata.

Satu lagi perubahan besar ialah pengenalan sistem pelarasan kos bahan api secara automatik yang dikenali sebagai Automatic Fuel Adjustment (AFA). Berbeza dengan sistem lama (ICPT), AFA membolehkan bil elektrik diselaraskan secara lebih kerap mengikut perubahan harga bahan api global dan tukaran mata wang asing.

Bagaimana pengguna boleh semak kadar dan bajet bil mereka?

Mulai 21 Jun 2025, pengguna boleh menyemak jadual tarif baharu di laman web www.mytnb.com.my/tariff. Manakala mulai 23 Jun, kalkulator tarif akan tersedia untuk membantu pengguna kira anggaran bil bulanan mereka.

Langkah ini bukan sahaja memberi lebih ketelusan, tetapi juga galakkan rakyat mengurus penggunaan tenaga dengan lebih bijak dan berhemah.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau emel ke tnbcareline@tnb.com.my.

Penjelasan Ringkas: Apa Maksud Tarif Baharu Ini Untuk Anda?

Apa perlu saya buat sekarang?
• Semak jadual tarif di laman myTNB mulai 21 Jun
• Kira anggaran bil mulai 23 Jun guna kalkulator online
• Tak perlu panik, kebanyakan pengguna domestik dijangka tidak terbeban

Apa itu pengguna domestik dan bukan domestik?
• Domestik = pengguna di rumah (orang awam)
• Bukan domestik = kedai, pejabat, kilang, sekolah, hospital dan lain-lain

Kenapa sistem ini dikatakan lebih adil?
• Guna sikit, bayar sikit. Guna banyak, baru bayar lebih
• Tak ada lagi situasi semua orang kena kadar hampir sama walaupun guna tak sama

Apa maksud pelarasan bahan api automatik?
• Bil elektrik berubah ikut harga bahan api dunia
• Kalau harga minyak atau gas turun, bil anda juga boleh turun secara automatik

Sumber: Berita Harian

Related Posts