Tarian Labi-Labi, tarian tradisional Pahang yang diinspirasi dari cerita Pak Ngah Hitam ketika memancing ikan - The Reporter

Tarian Labi-Labi, tarian tradisional Pahang yang diinspirasi dari cerita Pak Ngah Hitam ketika memancing ikan

Kredit foto: YouTube PKKSSAAS Channel

Pernahkan anda mendengar Tarian Labi-Labi? Tarian ini adalah salah satu warisan tradisional yang berasal dari daerah Pekan dan Rompin di Pahang.

Tarian ini diinspirasikan oleh pergerakan labi-labi, sejenis kura-kura air tawar dan pada asalnya merupakan sebahagian daripada seni persilatan.

Asal usul dan inspirasi

Tarian Labi-Labi berasal dari kawasan Endau yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Johor. Kisah menarik di sebalik tarian ini melibatkan seorang nelayan bernama Pak Ngah Hitam dari Endau, Kuala Rompin.

Pak Ngah Hitam terpesona dengan pergerakan labi-labi yang cuba makan umpan pancingnya dan beliau meniru aksi labi-labi tersebut, yang kemudiannya berkembang menjadi satu bentuk hiburan yang lucu.

Ciri-ciri tarian

Tarian Labi-Labi bercorak komedi dan biasanya ditarikan oleh lelaki yang memakai pakaian tradisional Melayu lengkap dengan kain samping dan tengkolok. Penari akan meniru gerakan labi-labi, termasuk keluar dari “sarang” dan cuba mendapatkan pisang yang dilemparkan kepada mereka.

Penari juga akan memakai peralatan di belakang yang menyerupai cangkerang labi-labi dan meniru gerakannya. Tarian ini sering diiringi oleh alat muzik tradisional seperti gendang, gong dan seruling.

TiKToker Hakim Yusoff berkongsi info mengenai Tarian Labi-Labi

Tarian tradisional ini masih dimainkan hingga ke hari ini dan sering dipersembahkan dalam acara kebudayaan dan pertandingan tarian tradisional di Pahang. Tarian ini juga diajar di sekolah-sekolah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara warisan budaya. Ia dikategorikan sebagai tarian etnik Melayu tradisional dan menjadi simbol kreativiti dan humor dalam budaya tempatan.

Ia bukan sahaja menghiburkan tetapi juga merupakan warisan budaya yang penting bagi masyarakat Melayu di Pahang. Dengan usaha pemeliharaan yang berterusan, tarian ini diharapkan akan terus diwarisi oleh generasi akan datang, mengekalkan keunikan dan keindahan budaya tradisional Malaysia.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!