Menunaikan haji pada usia muda memberi perspektif yang mendalam kepada Ir. Haji Zainuddin bin Haji Omar. Beliau yang berpeluang menjadi tetamu Allah ketika usianya masih di awal 20-an, menyaksikan pelbagai peristiwa luar biasa sepanjang berada di Tanah Suci.
Ir. Haji Zainuddin bin Haji Omar menunaikan haji buat pertama kali pada tahun 1984 ketika usianya baru awal 20-an bersama isteri tercinta. Pada ketika itu, urusan menunaikan haji masih mudah dan tidak memerlukan tempoh menunggu yang panjang.
Bayaran hanya sekitar RM4,500 seorang dan mereka mendaftar dua minggu sebelum tarikh tutup. Malah, Tabung Haji memulangkan lebihan RM500 kepada setiap jemaah sebagai wang saku, satu kenangan manis yang sukar dibayangkan dalam sistem hari ini yang begitu ketat dan bersaing dengan sebahagian jemaah bahkan menerima giliran sehingga tahun 2090.
Namun, tahun itu juga menyaksikan pelaksanaan sistem muassasah buat kali pertama oleh kerajaan Arab Saudi bagi menggantikan sistem lama yang dikenali sebagai ‘Sheikh Haji’. Sistem baharu ini penuh cabaran.
Dalam satu catatan Facebook yang tular, beliau berkongsi pengalaman menyentuh hati termasuk kisah-kisah benar yang terjadi kepada jemaah Malaysia sendiri. Bagi beliau, setiap insiden yang berlaku adalah teguran Allah kepada hamba-Nya dan tidak seharusnya dipandang remeh.
Jemaah jatuh sakit tanpa sebab
Antara kisah yang dikongsikan ialah tentang seorang jemaah dari Banting yang jatuh sakit sebaik tiba di Mekah. Walaupun dirawat oleh pasukan perubatan Tabung Haji, punca penyakitnya tidak dapat dikenal pasti.
Beliau tidak sembuh hingga tiba hari kepulangan, malah menjadi semakin tenat dalam penerbangan pulang. Pesawat terpaksa membuat pendaratan cemas di New Delhi, namun beliau meninggal dunia di sana. Menurut cerita, arwah sebelum itu pernah bergaduh dengan adik-beradik dan membolot harta pusaka.
Dalam satu kejadian lain, seorang jemaah wanita yang berangkat ke Mekah tanpa izin suaminya tiba-tiba diserang sakit perut yang tidak diketahui puncanya. Hanya selepas dia mengaku kesilapan dan memohon ampun, barulah sakit itu sembuh.
Seorang lagi jemaah yang enggan menunaikan nazar mencukur kepala kerana sayangkan rambut akhirnya diuji dengan penyakit kulit kepala yang memaksanya mencukur rambut atas arahan doktor.
Doa dimakbulkan di Arafah
Kisah ujian tidak terhad kepada golongan biasa. Satu kumpulan jemaah VIP dari Malaysia yang kerap membangga-banggakan pakej mereka turut menerima ujian apabila hotel penginapan sering mengalami gangguan air.
Mereka terpaksa menumpang mandi di bilik jemaah biasa. Bas ke Arafah juga lewat, menyebabkan mereka menunggu berjam-jam dalam panas terik. Ramai antara mereka marah dan memaki petugas haji walaupun telah dinasihatkan agar bersabar kerana ujian itu datang daripada Allah.
Antara yang paling memberi kesan ialah kisah doa yang dimakbulkan di Arafah. Ketika berdoa agar Allah melindungi kediaman mereka, seorang pencuri cuba memecah masuk rumah Haji Zainuddin di Shah Alam. Mujur jiran yang pulang secara kebetulan berjaya menggagalkan cubaan tersebut, doa yang terbukti diterima serta-merta.
Dalam kisah lain pula, seorang sahabat beliau mendesak pulang dari Mekah hanya selepas dua minggu. Sebulan kemudian, beliau mengaku dijangkiti penyakit kelamin akibat perbuatan maksiat sebelum berangkat ke Mekah. Penyakit itu mula menyerang ketika menunaikan haji sehingga menyebabkan dirinya tidak waras.
Ir. Haji Zainuddin menutup catatan dengan pesan penuh makna. Beliau berpesan untuk perbanyakkan solat taubat sebelum berangkat ke Tanah Suci dan amalkan ‘vow of silence’ sepanjang berada di sana. Katanya, diam itu bukan hanya emas tetapi juga pelindung daripada dosa lidah yang boleh mencemarkan ibadah yang suci.
Sumber : Facebook Zainuddin Omar








