Polis mengesahkan pemandu e-hailing ditikam remaja berusia 13 tahun di Taman Keladi, Sungai Petani, berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang dimaki ketika mengambil semula wang tambang.
Ketua polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang juga warga emas itu terdahulu menerima pesanan penumpang daripada aplikasi e-hailing pada jam 5.43 petang Isnin. Mangsa kemudian mengambil suspek di Lorong Taman Keladi.
Ketika dalam perjalanan ke destinasi, suspek menyatakan hasratnya untuk meminjam wang sebanyak RM50 kerana perlu membayar sewa rumah.
Mangsa kemudian memberitahu suspek perlu turun dari kereta jika tiada wang untuk membayar tambang. Tetapi suspek enggan berbuat demikian dan meminta mangsa menghantarnya ke rumah untuk mengambil wang bagi membayar tambang berkenaan.
Sebaik saja tiba di rumah, suspek meminta mangsa membawanya semula ke Taman Keladi dan menerima bayaran RM18 daripada remaja berkenaan. Mangsa terpaksa menurunkan suspek di lokasi tersebut dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9. Suspek memberikan wang RM20.
Ketika mangsa mahu memulangkan baki wang, suspek terus menikam dada mangsa dan dalam masa yang sama dia cuba merampas wang daripada poket mangsa.
Tetapi mangsa segera merampas pisau dan menggigit tangan suspek yang menyebabkan remaja itu bertindak melarikan diri.
Susulan kejadian itu, suspek telah ditahan reman pada jam 10 malam Isnin dan sebilah pisau yang digunakannya dalam kejadian itu turut dirampas untuk siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, suspek merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bukan berasal daripada kalangan keluarga bermasalah.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian