Seorang lelaki bakal didakwa di Mahkamah Majistret Mersing esok selepas disyaki memukul seorang penunggang motosikal dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, Mersing, Johor.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian pada kira-kira jam 1 pagi, 25 September lalu itu mendapat perhatian selepas rakaman berdurasi satu minit 45 saat tular menerusi aplikasi Threads.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa memotong kenderaan dinaikinya selain membunyikan ekzos dengan kuat.
Bunyi berkenaan dikatakan menyebabkan bayi yang sedang dipangku isteri suspek terjaga dan menangis sebelum suspek bertindak marah serta memukul mangsa.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian pipi kiri serta perut.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Majistret Mersing pada 30 September.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mendatangkan akibat kepada diri sendiri.








